Purata 15,000 saman sehari sejak AES ditangguhkan, kata Loke
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan tiga kali ganda saman trafik sejak dua minggu lalu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia berlaku ketika tempoh pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh JPJ di mana tiada saman akan dikeluarkan AES antara 17 hingga 31 Ogos.
Katanya, 45 kamera AES di seluruh negara merakam purata 15,000 kesalahan setiap hari dalam tempoh dua minggu itu, berbanding kira-kira 5,000 sehari sebelum ini.
"Ini bermakna ramai yang melanggar undang-undang jalan raya dengan sengaja kerana tahu mereka tidak akan disaman.
"Ini menunjukkan sikap sesetengah pemandu yang suka melanggar undang-undang (apabila tiada penguatkuasaan).
"Saya benar-benar kecewa," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan AES di kelana Jaya, Selangor, hari ini.
Lim berkata kerajaan tidak akan berkompromi mahupun memberikan diskaun kepada pemandu yang melakukan kesalahan selepas ini.
Bermula 1 September ketika AES dikuatkuasakan semula, Loke berkata setiap pemandu yang dirakam membuat kesalahan akan dikenakan saman RM300 dan mata demerit mereka juga akan dipotong.
"Kita sudah kata penguatkuasaan akan diketatkan selepas mengambil alih AES. Tujuan kami bukan untuk menghukum tetapi mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang.
"Melanggar lampu isyarat dan memandu laju (melebihi had laju) adalah tindakan tidak bertanggungjawab, dan kami berharap dengan penguatkuasaan yang tegas kadar kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan," katanya lagi.
Tiada pengecualian
Di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), pengguna jalan raya boleh berdepan denda maksimum RM300 dan pemotongan empat mata demerit atas kesalahan melanggar lampu isyarat.
Kesalahan melebihi had laju pula memperuntukkan denda yang sama dan pemotongan dua hingga empat mata demerit.
Pemotongan dibuat berdasarkan had laju mereka. Dua mata jika melebihi satu hingga 25 kilometer sejam (km/j), tiga mata untuk 25 hingga 40 km/j dan empat mata untuk melebihi 40 km/j.
Loke berkata, mata demerit untuk bas dan kenderaan pengangkut barang pula berbeza. Bagi kesalahan melanggar lampu isyarat, sejumlah enam mata akan dipotong dan kesalahan melebihi had laju pula antara empat hingga enam mata.
Ketika ditanya tentang pengecualian saman terhadap golongan diraja dan pegawai kerajaan, Loke berkata hanya kenderaan rasmi diraja, perdana menteri dan timbalan menteri sahaja yang dikecualikan.
Anggota kerabat diraja dan menteri serta timbalan menteri pula tidak akan dikecualikan, katanya lagi.

