Ulasan Malaysiakini

Menanti pencak seorang Husam

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Gembira benar penyokong Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas naib presiden mereka, Husam Musa, hari ini secara rasmi menjadi senator.

Pagi tadi - selepas tertangguh seketika - Husam mengangkat sumpah di Dewan Negara.

Kini Husam bukan lagi untuk Kelantan, tetapi dia untuk Malaysia.

Kata-kata allahyarham bekas mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk Husam kini nampanya menjadi doa yang makbul.

"Husam ini Allah cipta bukan sahaja untuk Kelantan, bahkan untuk Malaysia," begitulah kurang lebih kata-kata Tok Guru lama dulu.

Video ucapan Nik Abdul Aziz itu sentiasa dijadikan rujukan khususnya bagi penyokong AMANAH sebagai 'ubat penguat semangat' dari semasa ke semasa.

Hari ini, ada yang menitis air mata gembira, ada yang berkisah panjang, ada yang membuat poster khas mengucapkan tahniah dan tidak kurang yang mempamerkan gambar bersama tokoh yang mereka hormati itu di media-media sosial.

Begitu meriah sekali.

Banyak cerita, tapi tetap tenang

Umum sudah mengenali Husam sebagai tokoh politik yang lahir daripada rahim PAS dan 'tertendang' dari parti itu dengan pilihan asbab perjalanan politiknya sendiri.

Beliau sinonim dengan tanah kelahirannya, Kelantan, dan perjuangannya hampir tidak pernah meninggalkan Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.

Sepanjang tempoh sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor itu menjadi tumpuan media dengan sisi-sisinya tersendiri.

Dipecat oleh PAS, menyertai AMANAH, isu sumbu jimat petrol, masalah dalaman melibatkan keluarga, ditarik gelaran, pertikaian Wisma Tok Guru, dan dilarang masuk ke premis kerajaan negeri Kelantan antara ujian terpikul di batang tubuh seorang Husam.

Bagaimanapun beliau dilihat tabah dan tetap tenang, menggagahi setiap tanggungjawab yang diamanahkan sehinggalah semuanya kini tersimpul dalam jawapan yang menggembirakan.

Dan pelantikan beliau sebagai senator hari ini seperti membuka harapan baru dan plot melegakan khususnya bagi penyokong-penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan selepas kalah teruk di negeri itu pada PRU14 lalu.

Ketika HARAPAN mentadbir negara dengan menumbangkan BN nama Husam beberapa kali dikhabarkan bakal mendapat tempat dalam kerajaan.


Baca Sidang DUN Kelantan 'sejuk' tanpa Husam dan Nozula


Caranya - tanpa sebarang kerusi melalui PRU14 - ialah membawa Husam melalui pintu Dewan Negara. Namun untuk seketika khabar yang ditunggu-tunggu itu tidak kunjung tiba, sehinggalah hari ini.

Seterusnya kita akan dapat melihat bagaimana Husam dengan kebijaksanaannya berperanan dalam kerajaan pusat dan menangani hubungan dengan kerajaan negeri yang ditadbir PAS - sebuah parti kerajaan di peringkat negeri namun kekal pembangkang di peringkat pusat.

Sebagai orang kuat di Kelantan, penulis pasti Husam akan diberi tanggungjawab khusus untuk memberi tumpuan terhadap negeri Cik Siti Wan Kembang itu di samping negeri-negeri lain.

Jika sebelum ini beliau menjadi tulang belakang HARAPAN khususnya di Kelantan, kini tulang belakang Husam sendiri lebih kukuh sekurang-kurangnya untuk melengkapkan komitmen dan tumpuan kerajaan persekutuan terhadap negeri berkenaan.

Bekas exco kanan kerajaan PAS Kelantan itu pastinya akan diberi perhatian lebih oleh musuh-musuh politiknya sama ada untuk berwaspada atau mencari 'buah kilas' yang boleh menjadi peluru politik mereka.

Pemain-pemain politik dan pemerhati umumnya sedar dengan ketokohan dan perwatakan Husam, pemikiran, idea serta tindakan-tindakannya yang sukar jangka.

Pada masa sama menarik benar untuk melihat bagaimana pencak wakil-wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan 'menari' di depan Husam nanti.

Justeru, Husam hari ini ialah garis mula baru untuk beliau. Apa yang berlaku selepas ini sentiasa dinantikan untuk diamati dalam senorio semasa Malaysia baru.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kelantan.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.