Berita Malaysiakini

Siasatan dalaman FGV: Tindakan diambil tunggu nasihat peguam

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Felda Global Ventures (FGV) dijangka akan mendedahkan hasil siasatan dalaman terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusannya dalam beberapa bulan akan datang.

Pengerusi FGV Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata pihaknya kini sedang menunggu maklum balas dan nasihat daripada peguam mereka berhubung perkara itu.

“Kita sedang menunggu maklum balas dari peguam kita dimana perkara itu belum selesai. Peguam juga belum putuskan nasihat. Kita sedang menunggu dan mereka (peguam) akan buat keputusan akhir," katanya.

Ditanya, adakah ahli lembaga pengarah itu termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (GP/CEO) Datuk Zakaria Arshad dan bekas pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Azhar berkata beliau tidak dapat mendedahkan perkara itu buat masa ini.

“Saya tak dapat namakan individu itu tapi jika saya tak sebut (ulas) ini saya nampak tak jujur dengan kamu.

"Individu yang terlibat itu (berada di) lapisan peringkat termasuk ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan,” katanya.

Siasatan audit forensik yang dilakukan oleh FGV ke atas enam transaksi dan keputusan pelaburan yang dibuat sebelum ini telah mendedahkan kumpulan itu kepada kerugian kewangan yang teruk.

Kelemahan amalan perdagangan

Daripada enam transaksi itu, empat telah selesai siasatan termasuk transaksi berjumlah RM628 juta membabitkan pembelian Asia Plantation Ltd (APL) pada tahun 2014 dan pelaburan FGV Cambridge Nanosystems Ltd dan pembelian kondominium mewah The Trioka.

Menurut Azhar, siasatan lanjut dalaman mendapati terdapat kelemahan dalam amalan perdagangan pembelian yang lemah dan jualan minyak sawit yang lemah sehingga mengakibatkan hutang sekitar RM100 juta.

“Penemuan siasatan itu ada pada peguam. Kami akan membuat pengumuman hasil siasatan pada masa yang sesuai,” katanya.

Selain daripada prosiding undang-undang, Azhar berkata lebih penting bagi kumpulan itu untuk memberi tumpuan kepada pelan pemulihan.

"Kita tidak boleh hanya fokus nak ambil tindakan, bagaimana pula dengan masa depan kumpulan (GFV).

"Kumpulan ini perlu dijaga, nilai perlu dijana, kecekapan dan keberkesanan operasi kami perlu dipertingkatkan, dan hasil kewangan yang baik perlu dijana.

"(Tapi untuk baik pulih) tidak selesai semalaman dan ia tidak akan ambil masa yang lama sebelum ia berlaku. Pihak Lembaga dan pengurusan tetap komited terhadap rancangan ini (pelan pemulihan),” katanya yang menambah tidak ada tempoh waktu yang diletakkan dalam program pemulihan itu.