Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Udang galah, ketam antara barangan dikecualikan SST

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan produk makanan laut dalam kategori moluska dan krustasea dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Antara produk berkenaan termasuk ketam, udang galah, sotong, lobster batu (rock lobster), abalone, kerang dan tiram.

Menurut Lim pindaan itu dibuat selepas beliau menyedari semua makanan berkenaan bukan dalam kategori "barangan mewah" yang boleh dikenakan SST sebanyak 10 peratus.

"Saya ingat barang ini semua barang mewah tetapi nampaknya ada banyak juga yang bukan mewah, banyak juga diguna untuk nasi kandar & Char Kuey Teow

"Saya kena buat satu pengakuan saya memang suka makan char kwo teow dan saya persoalkan kenapa kenakan 10 peratus atas makanan yang diminati oleh orang ramai seperti Char Kuey Teow dan nasi kandar

"Bagi membolehkan makanan laut ini digunakan oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah juga boleh menikmatinya tanpa SST, jadi saya sebagai menteri kewangan akan arahkan jabatan kastam Malaysia untuk mengecualikan semua makanan di atas daripada bayaran SST 10 peratus," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Beliau berkata berkemungkinan besar, pindaan itu akan bertahan sehingga hujung tahun ini.

Kastam akui silap ikan masin dikenakan SST

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Paddy Abdul Halim, yang turut serta dalam sidang media itu mengakui silap apabila jabatan itu memasukkkan ikan masin dalam kategori barangan dikenakan SST sebelum ini.

Katanya jabatan itu memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan telah mengarahkan produk berkenaan dikecualikan daripada SST.

Paddy berkata, panduan mengenai senarai barangan dikenakan SST yang diterbitkan pada 25 Ogos lalu kini telah diwartakan dan akan dikemaskini sehingga hujung tahun.

Lim sebelum ini menjelaskan bahawa ikan masin dan barangan keperluan lain untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak akan dikenakan SST.

Lihat Komen
ADS