Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu kertas putih jelaskan kes Guan Eng digugur AG

ULASAN | PAS meneliti episod penarikan balik tuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng oleh Peguam Negara (AG) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.

PAS akur dengan kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkannya memulakan, menjalankan atau menghentikan sesuatu kes jenayah di mahkamah sivil.

Namun demikian kuasa budi bicara tersebut perlu dilaksanakan selaras dan mengikut undang-undang (must be exercised judicially and judiciously), bukannya secara membuta tuli.

Memandangkan kes rasuah yang melibatkan mantan ketua menteri Pulau Pinang itu merupakan suatu kes yang mempunyai kepentingan awam dan perlu dijelaskan kepada orang ramai, maka PAS menuntut Peguam Negara menjelaskan:

  1. Apakah kandungan representasi tertuduh kepada Peguam Negara?
  2. Apakah kriteria dan justifikasi kes tersebut digugurkan selepas lebih 20 orang saksi dipanggil?
  3. Adakah pandangan (opinion) SPRM telah diambil kira sepenuhnya?
  4. Adakah kes ini akan mengikat (binding) kes-kes lain yang mempunyai fakta yang sama dengan kes tersebut dan akan turut ditarik balik, dan
  5. Apakah kedudukan kes terdahulu yang mempunyai fakta yang sama tetapi telah disabitkan oleh mahkamah?

Memandangkan kes ini melibatkan seorang anggota parlimen dan juga menteri kabinet Persekutuan, satu kertas putih perlu dibentangkan di sidang parlimen akan datang bagi menjelaskan perkara ini demi memelihara dan menjaga integriti dan martabat institusi parlimen.


Datuk Takiyuddin Hassan ialah setiausaha agung PAS merangkap anggota parlimen Kota Bharu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS