P Pinang tempat paling cocok buat Anwar, kata ADUN
Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar memulakan langkahnya untuk kembali ke parlimen dari Pulau Pinang - negeri yang menjadi tempat beliau dilahir dan dibesarkan, kata salah seorang pemimpin cabang PKR.
Menurut anggota dewan undangan negeri (ADUN) bagi kawasan Kebun Bunga, Jason Ong, Anwar wajar kembali dan bertanding dalam pilihan raya kecil di Pulau Pinang dan bukannya di negeri lain, termasuk Kedah.
"Sebab Pulau Pinang ialah kampung halaman Anwar dan semua penyokong kuat beliau masih ada di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar lahir di Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.
Beliau memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh selama enam penggal, sejak menyertai Umno pada 1982. Kerusi itu kemudian diwakili oleh isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum berpindah tangan kepada anak mereka, Nurul Izzah, pada 9 Mei lalu.
Anwar sepatutnya menjadi perdana menteri kelapan Malaysia melalui perpindahan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk membolehkan ia berlaku Anwar mesti menjadi anggota parlimen terlebih dulu.
Anwar sendiri membayangkan beliau akan bertanding dalam pilihan raya kecil menjelang akhir tahun ini. Bagaimanapun belum dipastikan anggota parlimen mana yang perlu berundur untuk memberi ruang kepada Anwar bertanding.
Menurut Ong selama dua dekad Anwar melalui pelbagai cabaran dalam politik dan selepas mendapat pengampunan, tokoh itu wajar mengekalkan Pulau Pinang sebagai tapaknya.
"Sejak 1998 hingga mendapat pengampunan diraja Anwar tidak pernah hilang kepercayaan kepada kita, rakyat Malaysia.
"Sekarang Anwar akan bergantung kepada kita untuk membawanya kembali ke parlimen supaya menjadi perdana menteri kelapan.
"Sebab itulah mengapa Pulau Pinang menjadi tempat paling sesuai bagi beliau kerana rakyat negeri ini sudah pasti tidak akan mengecewakan beliau," kata Ong.

