PARLIMEN | Jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengkaji semula undang-undang yang dianggap zalim diberi masa sehingga bulan depan untuk mengemukakan laporannya.

Menurut KDN jawatankuasa terbabit juga akan mengemukakan syor yang dirasakan sesuai selepas membuat kajian mengenai undang-undang tersebut.

Kata KDN jawatankuasa khas tersebut terdiri daripada pihak yang berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, peguam dan ahli akademik.

Antara akta yang sedang dikaji semula, kata KDN, ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang turut dikenali sebagai Sosma, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Hasutan 1958 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"(Kajian semula ini) dijalankan untuk melihat sama ada penggunaan akta-akta tersebut selari dengan norma hak asasi manusia," kata KDN dalam jawapan bertulis di parlimen.

Sebelum itu anggota parlimen Klang, Charles Santiago, meminta KDN menyatakan tempoh yang diperlukan kerajaan untuk memansuhkan beberapa akta yang dianggap zalim.

Akta yang dirujuk Santiago ialah Akta Hasutan 1948, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Menurut KDN kementerian terbabit tidak tempoh masa secara khusus kepada jawatankuasa khas itu melengkapkan kajian terperinci mengenai akta-akta tersebut.

Katanya hal itu kerana kajian berkenaan memerlukan perhatian mendalam dan melibatkan pelbagai aspek.

"Jawatankuasa berkenaan diberi masa sehingga Okt tahun ini untuk mengemukakan hasil kajian dan syor kepada kementerian," katanya.