Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dihalang jumpa peguam, saman bekas ketua risikan didengar 24 Sept

Cabaran bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid untuk diwakili peguam ketika ditahan, akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 24 September ini.

Hakim Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam Hasanah, Shahrudin Md Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz serta peguam kanan persekutuan Norzilati Izhani Zainal @ Zainul dalam kamar.

Shahrudin memberitahu pemberita perkara itu selepas pengurusan kes hari ini.

Hasanah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 Ogos lalu.

Suruhanjaya itu kemudian mendapatkan perintah reman lima hari terhadapnya. Dia dibebaskan semalam.

SPRM sedang menyiasat Hasanan dan tujuh lagi pegawai risikan kerajaan berkaitan dakwaan salah guna dana AS$12 juta yang diikatkan untuk tujuan pilihan raya.

Peguamnya menfailkan cabaran perlembagaan terhadap Seksyen 28(8) dan 28(9) Kanun Acara Jenayah (CPC) pada 28 Ogos lalu.

Hasanah menuntut pengisytiharan bahawa Seksyen itu ultra vires terhadap Perkara 5(3) dan 8 dalam perlembagaan persekutuan yang menjamin hak diwakili dan dilayan sama rata di sisi undang-undang.

Hak itu, katanya, tidak berikan padanya ketika ditahan.

Dia turut menuntut kos adan relif yang ditentukan mahkamah.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan SPRM tidak membenarkannya berjumpa dan berunding dengan peguamnya semasa direman berkaitan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hasanah, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co. pada 30 Ogos lepas dengan menamakan SPRM dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah, ketika ditemui pemberita berkata, hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi, yang kemudiannya menetapkan 24 Sept untuk pendengaran saman pemula itu.

Dalam saman itu, Hasanah menuntut perintah perisytiharan bahawa surat pemberitahuan dikeluarkan SPRM di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh beliau direman adalah bertentangan dengan Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, pemohon mendakwa Seksyen 28A itu tidak sah, batal dan tiada kesan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.

Menerusi afidavit sokongan yang disertakan bersama saman itu, seorang lagi peguam Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata firma guaman mereka mengetahui bahawa Hasanah telah ditangkap oleh SPRM pada 28 Ogos dan anggota keluarganya mengarahkan pihaknya untuk hadir keesokan hari (29 Ogos) dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam itu mendakwa, cara untuk pihaknya mengetahui alasan penangkapan Hasanah dan Seksyen mana beliau akan disiasat adalah dengan menemuinya sendiri di lokap mahkamah sebelum kes reman dipanggil oleh Majistret.

Namun, Mohd Khairul mendakwa satu surat pemberitahuan di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah diserahkan kepada pihaknya ketika prosiding reman berkenaan untuk menyekat atau menghalang wanita itu daripada bertemu dengan peguambela.

Dakwanya, menurut Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang ditangkap hendaklah diberikan hak kebebasan asasi iaitu hak untuk berunding dengan peguam dan hak untuk dibela oleh peguam.

Hasanah telah direman selama enam hari ini bermula 29 Ogos bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU14 dan dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.

 

Lihat Komen
ADS