Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita AMANAH bidas pengkritik sebatan syarie
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 1:54 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Angkatan Wanita Parti Amanah Negara membidas sekumpulan NGO wanita yang mengkritik pelaksanaan hukuman sebat terhadap pasangan lesbian di Terengganu semalam.

Ketuanya Dr Siti Mariah Mahmud menolak kajian semula terhadap hukuman syariah atas alasan ia bukan perkara baru dan ditetapkan sejak tahun 2001.

“Malah hukuman ini juga telah digunapakai oleh Mahkamah Syariah di negeri lain, seperti kes di Mahkamah Syariah Tawau beberapa tahun lepas.

“Justeru adalah tidak wajar ianya dipertikaikan,” katanya.

Dua wanita semalam disebat enam sebatan di dewan mahkamah di Kuala Terengganu selepas disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan sejenis.

Hukuman itu adalah yang pertama dilaksanakan di khalayak umum di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Mariah berkata, gesaan menyatukan undang-undang jenayah bawah satu kanun keseksaan juga tidak relevan kerana kaedah sebatan yang berbeza.

“Hal ini menegaskan bahawa hukuman ini dibuat adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan menolak dakwaan yang menyatakan hukuman ini tidak berperikemanusiaan atau bersifat kejam,” katanya.

Berkaitan sebatan di khalayak pula, kata Mariah, tidak timbul isu martabat pesalah direndahkan ataupun pesalah dimalukan kerana di dilaksanakan dalam dewan bicara, bukan tempat terbuka.

Dr Mariah juga berkata pesalah menerima hukuman tanpa bantahan kerana tidak membuat sembarang rayuan.

Justeru, katanya, mana-mana pihak yang menentang hukuman semalam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana Malaysia mengiktiraf dua sistem perundangan, iaitu sistem syariah dan sivil.

“Justeru semua pihak wajib menghormati sistem undang-undang yang sedia ada ini bagi menjamin kedaulatan negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS