Paling Popular
Terkini

Nama Kerinchi akan dipertahankan bagi memastikan sejarah dan warisan penempatan yang wujud sejak 1880-an itu terus terpelihara.

Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata pihaknya tidak membantah sebarang kemajuan atau usaha membahasa Inggeriskan nama asal tempat seperti Bangsar South tetapi bagi Kerinchi, biarlah nama itu dikekalkan bagi memastikan generasi akan datang terus kenal sejarah kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penamaan kawasan Kerinchi kepada Bangsar South yang menimbulkan pelbagai rungutan dalam kalangan pejuang Bahasa yang melihatnya sebagai usaha membelakangkan bahasa Melayu.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Sehari Isu-Isu Mutakhir Kesusasteraan Melayu Moden di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP Dr Mohd Hanafi Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan beberapa lokasi strategik untuk pembinaan mercu tanda Kerinchi sudah dikenal pasti dan dijangka dilaksana selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Beberapa perbincangan masih diteruskan terutama dengan penduduk dan pemaju serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Mengenai reka bentuk mercu tanda itu, Fahmi menjelaskan antara idea yang diketengahkan adalah pintu gerbang di laluan masuk utama ke kawasan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS