Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Orang Kelantan memang cerdik, sebab itu kekal undi PAS'

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah setuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Kelantan sememangnya pandai dan berbakat.

Katanya, sebab itulah mereka terus memilih PAS untuk mentadbir negeri serambi Mekah itu sejak 27 tahun lalu di sebalik pelbagai kekangan.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan membalas kenyataan perdana menteri baru-baru ini bahawa walaupun negeri itu miskin, rakyatnya amat berbakat sehingga berjaya di negeri-negeri lain.

"Memang orang kelantan ramai yang cerdik, sebab itu mereka selama 27 tahun terus mengundi PAS.

"Mereka pandai memilih parti yang layak untuk jadi kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Ketika bercakap di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara Sabtu lalu, Mahathir menyentuh soal keadaan di Kelantan yang menurutnya menyukarkan penduduknya berjaya di sana.

"Sebenarnya orang Kelantan ni bijak belaka. Kalau perhatikan mana-mana negeri pun, ada bisnes ada lah orang Kelantan...Mereka cekap dan mestilah diberi iklim yang sesuai supaya tumpu pada pembangunan negeri Kelantan."

Antara masalah yang dihadapi negeri itu adalah kekurangan kutipan cukai sehingga memerlukan bantuan kerajaan pusat, kata Mahathir.

Mengulas kenyataan itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar berkata punca utama pembangunan negeri itu perlahan adalah kekangan infrastruktur.

"Ia menjadikan pembangunan agak lambat. Kita tak ada jalan raya dan lebuh raya yang baik, tiada pelabuhan," katanya,

'Bukan salah PAS semata'

Katanya lagi, kerajaan negeri telah memohon pembinaan kemudahan seperti lebuh raya pesisir pantai, lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dan pembesaran lapangan terbang setiap kali Rancangan Malaysia dirangka.

"Kemudahan yang cukup akan menggalakkan kedatangan pelabur...Tetapi perkara-perkara itu dinafikan terhadap Kelantan dan keadaan hari ini berlaku," katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa kerajan persekutuan menyegerakan projek-projek itu serta meneruskan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) jika benar mahu membantu negeri itu.

"Sebab itu apabila kerajaan dulu cadang (ECRL) kita sokong awal-awal lagi, tetapi kerajaan sekarang mahu batalkannya.

"Ini semua beri kesan, bukan salah kita (kerajaan negeri) seratus peratus...(tetapi) kenyataan Mahathir seolah-olah menyatakan PAS sebagai puncanya," katanya yang juga ADUN Panchor.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata Kelantan tidak boleh dibandingkan dengan negeri seperti Selangor yang mempunyai kedudukan strategik dan infrastruktur lengkap.

"Selangor ada lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang. Ia bukan soal parti yang mentadbir.

"Jadi jika nak komen mengenai Kelantan perlulah adil...Kita akui kita ketinggalan ari segi pembangunan fizikal tetapi bukan kerana kerajaan negeri tidak membuat perancangan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS