Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman sebat sudah dilaksana di Kelantan - Mohd Amar

Selepas Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat secara terbuka ke atas dua wanita di negeri itu semalam, timbul pertanyaan mengapa undang-undang sama tidak dilaksanakan di Kelantan sepanjang 27 tahun pemerintahan PAS.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun menjelaskan, hukuman seumpama itu sudah berlangsung di negeri itu namun tidak dilaksanakan secara terbuka.

Sebaliknya kata beliau, hukuman sebatan bagi pesalah jenayah syariah di Kelantan dilakukan di penjara dengan pemantauan pegawai penjara.

"Hukuman sebat memang sudah ada dalam Enakmen Jenayah Syariah di semua negeri, begitu juga di Kelantan. Dan sudah ada kes-kes yang kita buat hukuman sebat, tetapi hukuman dijalankan di penjara.

"Baru tahun lepas saja kita buat pindaan enakmen yang membolehkan hukuman sebat dibuat secara terbuka.

"Tetapi setakat ini belum ada kes, kalau ada kes insya-Allah kita laksanakan. Sebelum ini orang ingat Kelantan tak buat," katanya ketika ditanya berhubung pelaksanaan hukuman secara terbuka di negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat sebanyak enam kali terhadap dua wanita berkenaan kerana percubaan melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

'Hukuman untuk cegah jenayah'

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding berkata hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.


Baca: Sebat buktikan T'ganu tegas tolak LGBT


Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata, hukuman sebatan secara terbuka itu lebih kepada usaha untuk mencegah jenayah.

Katanya, tujuan hukuman dalam Islam itu juga digalakkan dilaksana secara terbuka bagi menimbulkan rasa malu kepada pesalah dan pengajaran kepada orang lain.

"Tujuannya adalah untuk mencegah, bukan untuk mencederakan pesalah. Ia sebagai pengajaran dan sebatan syariah ini jauh berbeza berbanding sebatan bagi kesalahan jenayah sivil," jelasnya.

Lihat Komen
ADS