'Kerja naik taraf jalan raya di Balakong tiada kaitan PRK'
PRK BALAKONG | Kerja-kerja menaik taraf jalan raya di Balakong tiada kaitan dengan pilihan raya kecil di kawasan itu, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Bercakap kepada pemberita dalam satu majlis bagi menaik taraf jalan di kawasan berkenaan, Baru berkata kerja-kerja yang dijalankan dibiayai sepenuhnya oleh pemaju swasta, Parkland Group.
"Ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari Parkland. Kami berharap pemaju lain akan mencontohi Parkland terutama ketika negara sedang menghadapi situasi yang sukar dari segi kewangan.
"Kerajaan akan cuba membawa pembangunan di mana-mana sahaja di Malaysia sebaik mungkin.
"Dan jika ia berlaku di kawasan pilihan raya kecil, apa saya boleh buat," katanya pada sidang media selepas majlis kerja menaik taraf jalan yang diadakan di sebuah kawasan kedai di Balakong.
Beliau juga menjelaskan Parkland menaik taraf jalan di kawasan sekitar hadapan apartmen yang sedang dibangunkan mereka.
Terdahulu, Baru dalam ucapannya menggesa penduduk Balakong memberi sokongan kepada calon DAP, Wong Siew Ki dalam pilihan raya kecil itu.
"Saya menyeru rakyat di Balakong untuk memberi kemenangan kepada calon dan bakal YB Wong kita. Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa Wong mampu menjadi wakil yang baik dan bertanggungjawab," katanya.
Sekolah turut dinaik taraf
Ketika ditanya sama ada kehadiran beliau di Balakong untuk berkempen memenangkan calon BN sedangkan beliau merupakan seorang menteri persekutuan, Baru berkata beliau juga merupakan sebahagian daripada pemimpin Pakatan Harapan.
"Secara kebetulan saya berada di sini dan ada pilihan raya kecil.
"Saya sebahagian daripada kerajaan (tapi) saya juga sebahagian daripada gabungan parti politik kerajaan. Dalam perkara-perkara semacam ini, tiada perbezaan yang jelas dalam politik, itu perspektif saya.
"Sama ada berkempen atau tidak, saya percaya rakyat boleh membuat kesimpulan mereka sendiri, itu okay bagi saya," katanya.
Selepas majlis tersebut, Baru menghadiri acara lain di Balakong di mana beliau merasmikan kerja-kerja menaik taraf sebuah sekolah.
Bagaimanapun, pada acara ini, Baru tidak menyebut mengenai pilihan raya kecil Balakong atau mengenai mana-mana calon.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang DUN berkenaan, Eddie Ng yang terkorban dalam satu nahas jalan raya pada 20 Julai lalu.
Dalam PRK itu, Wong akan menentang pencabarnya, Tan Chee Teong dari MCA.

