Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSATU sedia buka pintu buat mana-mana pemimpin pembangkang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sentiasa mengamalkan ‘pintu terbuka’ kepada mana-mana ahli atau pemimpin parti pembangkang termasuk Umno sekiranya mereka berminat menyertai parti itu.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata pihaknya tiada masalah dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai BERSATU asalkan mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Katanya, sekarang ini sudah sampai masanya untuk mengukuhkan parti dan salah satu usaha BERSATU ialah dengan menambahkan ahli sehingga di peringkat cawangan dan juga bahagian.

“Kita tiada masalah sekiranya terdapat pemimpin peringkat lawan berhasrat untuk menjadi ahli kepada Bersatu, ianya terbuka kepada sesiapa sahaja asalkan dia adalah Bumiputera.

“Kita akui selepas PRU14 ini penambahan ahli yang agak ketara dan kita harapkan akan terus ada penambahan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Wilayah kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Technoleap-ICE Edisi IBS di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading, hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Mara, Ismail Abdullah dan Pengarah KKTM Sri Gading, Shabudin Said.

Shahruddin, yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, turut mengharapkan kepada ahli BERSATU untuk hadir pada sambutan ulang tahun Bersatu kedua yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, Sabtu ini.

Katanya, kemuncak sambutan ulang tahun berkenaan adalah amanat daripada Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, ucapan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ucapan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Dijangkakan seramai 2,000 perwakilan akan hadir bersama 10,000 ahli, disamping kita juga mengalu-alukan kehadiran daripada orang ramai,” kata beliau.

“Mungkin yang disampaikan oleh Tun (Pengerusi) adalah perkara yang berkaitan Pasca PRU14 setelah Pakatan Harapan menerajui tampuk pimpinan negara,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS