Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kritikan terhadap hukuman sebat hanya sementara - MB T'ganu
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 5:40 AM
Dikemaskini: 10:16 PM

Kerajaan Terengganu bersikap positif terhadap kritikan segelintir pihak berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis, oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kelmarin.

Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata beliau percaya ia bersifat sementara dan mereka akan faham bahawa hukuman yang dikenakan itu adalah untuk mendidik pesalah yang terlibat dalam kegiatan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negara ini.

"Mereka (masyarakat) kena faham prinsip dan undang-undang yang dilaksanakan itu adalah satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa amalan seks songsang tidak wajar diamalkan di negeri Terengganu khususnya dan amnya di negara ini yang mempunyai tatasusila dan norma masyarakat yang beragama Islam.

"Jadi, saya percaya jika masyarakat kita melihat hukuman ini dengan objektif, dengan mata hati dan ilmu serta kefahaman dan bukan dengan emosi mereka boleh terima dan lihat keindahan di sebalik hukuman itu berbanding kaedah sivil yang agak tegas," katanya.

Beliau mengulas mengenai kritikan di media sosial tentang pelaksanaan hukuman sebat itu, selepas Majlis Kesyukuran Meraikan Pasukan Piala Presiden TFC III dan Piala Belia TFC IV di Kuala Tetengganu semalam.

Sebilangan daripada kritikan itu mendakwa hukuman itu membawa kemudaratan terutama daripada segi psikologi.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS