Tiada hukuman sebat lesbian di Kelantan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, tiada hukuman sebat diperuntukkan terhadap pesalah lesbian dalam enakmen agama Islam di negeri itu.
Katanya, buat masa ini, di negeri Cik Siti Wan Kembang, pasangan lesbian hanya boleh didenda atau dipenjara jika disabitkan bersalah, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, sejak 10 tahun lalu belum ada lagi kes lesbian didakwa di negeri ini.
"JAHEAIK tidak menolak kemungkinan terdapat pasangan lesbian di negeri ini tetapi `perbuatan' atau 'perhubungan' itu diadakan secara sembunyi.
"Golongan ini sudah lama wujud, mereka memilih untuk tidak mendedahkan hubungan kerana bimbang dihidu pihak berkuasa agama negeri.
“Oleh sebab ini, mereka sukar dikesan pihak berkuasa negeri termasuk JAHEAIK," beliau dipetik sebagai berkata kepada NSTP, di Kota Bharu.
Seksyen 15, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 1985, seseorang perempuan yang sengaja melakukan musahakah dengan perempuan lain, boleh didenda tidak lebihi RM500 atau penjara tidak lebih empat bulan atau kedua-duanya.
Akhbar itu bagaimanapun melaporkan pihak berkuasa agama Islam negeri sudah membuat pindaan terhadap enakmen berkenaan untuk memasukkan hukuman sebat terhadap pesalah lesbian.

