Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya perlu jaga kata-kata, gesa dewan perniagaan
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 2:47 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) meminta Putrajaya supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan mengumukan polisinya, yang boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan pada petang ini, MCCC berkata hubungan antara Malaysia dan China sepatutnya dipertingkatkan lagi selepas kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China.

"Bagaimanapun, kenyataan yang kabur, samar-samar dan dasar yang tidak konsisten oleh pemimpin-pemimpin kerajaan kami yang baru ini mungkin menjejaskan keyakinan para pelabur yang sedia ada dan bahkan (pelabur) berpotensi ... Ini mungkin memberi kesan yang serius kepada ekonomi negara kita," tegur MCCC dalam kenyataan itu.

Oleh itu, MCCC, yang keanggotaannya terdiri daripada semua kaum serta kumpulan perniagaan bebas dan swasta, berkata pihaknya mengakui keperluan untuk menjelaskan pandangan dan pendiriannya mengenai perkara ini.

Sehubungan dengan kenyataan mengenai perobohan tembok perimeter (sempadan) di sekitar Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), dewan perniagaan ini menunjukkan bahawa ia kemudiannya dikenalpasti sebagai salah faham.

Redakan keadaan, lindungi reputasi

"Tembok perimeter sangat munasabah dan sah. Ia dibina untuk melindungi keselamatan pekerja dan aset kilang-kilang.

"MCCC berharap institusi-institusi rasmi akan membuat penjelasan mengenai kenyataan-kenyataan tidak benar untuk mengelakkan kejadian itu daripada digunakan oleh pihak dengan niat (jahat) dan membiarkan industri bergerak dengan lancar," katanya.

MCCC juga menyentuh kenyataan Mahathir mengenai larangan penjualan harta benda untuk orang asing, yang dikatakan menyebabkan kejutan kepada pelabur dan pemaju asing.

"Insiden ini boleh mendatangkan kesan negatif terhadap pelaburan dan rancangan 'Rumah Kedua'. Institusi rasmi perlu membuat penjelasan yang munasabah dan meredakan keadaan bagi melindungi reputasi Malaysia," tambahnya.

MCCC berkata insiden ini menonjolkan pengaruh pegawai Malaysia, terutama pemimpin kerajaan baru.

"MCCC, yang komited untuk mengekalkan dan mempromosikan ekonomi dan hubungan perdagangan Malaysia-China, menyeru pemimpin kerajaan supaya berhati-hati dengan kata-kata mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS