Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek banglo: Anak Taib disaman RM2.2 juta
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 3:39 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Mahmud Abu Bekir, anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak dan bekas ketua menteri, Tun Abdul Taib Mahmud disaman hampir RM2.2 juta oleh bekas firma pereka dalaman untuk projek banglonya.

Tatum (KL) Sdn Bhd, firma pereka dalaman mewah yang berpejabat di Bangsar pada 20 Ogos lalu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi mendakwa syarikat milik Abu Bekir, Ivy Craft Sdn Bhd berhutang dengannya.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, Tatum mendakwa syarikat tersebut mempunyai kontrak yang "ditamatkan secara tidak sah" dan dengan itu layak dibayar untuk semua perkhidmatan yang sebelumnya diberikan, ditambah ganti rugi dan kos.

Jumlah RM2,188,178.69 yang dituntut merangkumi RM304,798.69 dalam bentuk pembayaran, RM1,881,880 dalam bentuk ganti rugi dan RM1,500 dalam kos.

Tatum juga menuntut bahawa Abu Bekir mengisytiharkan beliau telah "menamatkan kontrak secara unilateral dan tidak sah".

Pada bulan Ogos 2013, Tatum menandatangani kontrak pertama dengan syarikat Abu Bekir untuk membuat rekaan dalaman dan yang kedua pada bulan Julai 2015 untuk membekalkan perabot, perkakas dan kelengkapan untuk projek banglo yang terletak di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Pertikaian dengan arkitek Belanda

Abu Bekir kemudian mengeluarkan surat kepada Tatum, menyatakan hasratnya untuk menamatkan kedua-dua kontrak berikutan pertikaian dengan arkitek projek, yang dicadangkan Tatum.

Saman Tatum adalah berdasarkan kontrak kedua pada 2015.

Firma itu mendakwa "tiada kegagalan yang penting" pada pihaknya bagi mengesahkan penamatan kontrak itu.

Malaysiakini telah menghubungi peguam Abu Bekir, Messrs James Monteiro dan sedang menunggu maklum balas mengenai saman Tatum itu.

Sebelum pertikaian itu, Abu Bekir telah membayar Tatum untuk kontrak reka bentuk dalaman pertama selepas kerja-kerja diselesaikan.

Pada bulan Ogos 2015, beliau juga membayar RM1,224,569.93 kepada firma itu untuk perabot, perkakas dan kelengkapan yang dibekalkan oleh Tatum. Jumlahnya adalah 30 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang.

Bagaimanapun, selepas pertikaian dengan arkitek Belanda dalam projek itu, Abu Bekir memutuskan untuk mengkaji semula kontrak Tatum dan menuntut bayaran balik penuh sebanyak RM1,224,569.93 yang sebelum ini telah dibayar kepada firma berkenaan.

Apabila Tatum enggan berbuat demikian, Abu Bekir menghantar siri surat kepada firma itu yang menyatakan beliau mahu menamatkan kedua-dua kontrak.

Surat-menyurat yang terbaru daripada Abu Bekir adalah surat tuntutan yang dikeluarkan oleh peguamnya pada Julai tahun ini di mana beliau menuntut RM2,313,452.07 daripada Tatum.

Sebagai tindak balas, peguam Tatum, Messrs Tay dan Partners memfailkan saman di atas untuk menafikan semua "dakwaan", yang tidak diperincikan dalam dokumen mahkamah dan menolak jumlah yang diminta oleh Abu Bekir.

Lihat Komen
ADS