Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Saya tertarik untuk ikut dalam apa yang disebut sebagai “gerakan Reformasi” adalah kerana kesedaran bahawa bangsa ini telah kering aspek pemikiran dan kebudayaannya. Seorang pemuka gerakan yang rapat dengan Anwar Ibrahim menyebutkan dalam sebuah temubual ketika itu, gerakan Reformasi adalah gerakan kebudayaan.

Sudah tentu pada umur awal 20-an, saya tidak memahami sepenuhnya apa makna dan perlunya “gerakan kebudayaan”? Kemudiannya apakah tujuannya sama seperti gerakan pejuang bahasa Asas 50 atau di Indonesia pada 1920-an dikenali sebagai “Beodi Utomo”.

Apa yang saya dengar daripada beberapa orang pensyarah di universiti ialah persoalan tidak ada keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan kemanusiaan. Sepanjang pemerintahan 22 tahun Dr Mahathir Muhamad sebagai perdana menteri, apa yang ditekankan ialah yang disebut sebagai “sains dan teknologi”.

Hal-hal kemanusiaan, termasuklah apa yang wujud dalam kebudayaan tidak diberi perhatian sehingga keciciran. Beberapa bidang lain yang dianggap tidak menguntungkan termasuklah pertanian. Buat sekadar ala kadar sahaja.

Kesan buruknya sehingga hari ini. Buktinya bahan makanan ruji seperti beras sekalipun terpaksa bergantung besar dari luar negara.

Namun aspek kebudayaan tidak boleh diimport seperti beras. Bangsa ini sendiri harus melahir dan mengembangkan sendiri segala aspek kebudayaan dirinya. Hanya dengan cara itu, maka aspek kemanusiaan seperti sopan santun, adab, beramanah dan ihsan dapat diwujudkan.

Tidak ada ertinya kalau kita dapat melahirkan doktor, tetapi doktor yang tidak ada timbang rasa. Tidak ada gunanya kalau kita dapat melahirkan jurutera, ahli perbankan, ahli korporat, pentadbir atau apa pun golongan cerdik pandai kalau mereka mati hati nurani dan menjadi orang kasar.

Dr Mahathir selalu kagum dengan bangsa Jepun, terutama dalam bidang penciptaan teknologi selain kerajinannya. Sejak kenal Jepun, maka dasar pandang ke Timur pun digubal untuk menjadikan Jepun sebagai kiblat pembangunan Malaysia.

Apa yang gagal disedari adalah betapa kuatnya orang Jepun berpegang kepada tradisi budaya mereka. Jepun menjadi maju bukan kerana berkiblatkan mana-mana, seperti kita asyik mahu berkiblatkan ke sana ke situ.

Soal ilmu kemajuan boleh diajarkan di sekolah. Bahkan ilmu agama pun boleh diajar di sekolah, tetapi budaya tidak boleh diajarkan di sekolah dan universiti sekalipun.

Apabila muncul arus penentangan terhadap Dr Mahathir pada 1998, persoalan ketidakadilan bukan sahaja menyentuh sosok dan batang tubuh Anwar. Ketidakadilan yang lebih dalam dan berbahaya apabila aspek-aspek kemanusiaan dan kebudayaan tidak diberi penekanan yang cukup. Bahkan ada kalanya dikesampingkan.

'Jangan membangun sambil meruntuhkan'

Anwar sejurus bebas dari penjara pertama kali di era Reformasi, yakni pada 2004, beliau selalu menyebutkan bahawa “jangan sambil membangun, kita meruntuhkan.” Beliau juga menjelaskan dan menambah lagi, jangan dibangunkan gedung dan bangunan tinggi, tetapi di bawahnya kemanusiaan diinjak-injak sehingga mati.

Sedikit sebanyak kata-kata Anwar itu menyenangkan. Selepas Pakatan Harapan mendapat kuasa, selepas bertarung dan berjuang begitu lama, apakah akan lahir era di mana pemikiran, kebudayaan dan kemanusiaan tidak diinjak-injak sampai mati?

Belum ada bukti kesedaran berkenaan wujud di era Malaysia baharu. Apa yang paling ketara hanyalah dua-tiga karyawan dilihat keluar-masuk Menara Ilham untuk bertemu dengan majlis penasihat. Tidak lebih dari itu.

Pelantikan menteri kebudayaan misalnya sangat mencemaskan. Namanya pun tidak dikenali oleh mereka yang terlibat di dalam lapangan seni budaya. Begitu juga dengan timbalannya, dan rasa ragu mula timbul apabila sekali lagi kebudayaan akan keciciran seperti di era Mahathir 1.0 dahulu.

Bahkan di peringkat negeri, semua exco yang memegang kepentingan seni budaya juga sekadar mengisi kekosongan sahaja. Mereka tidak dikenali oleh golongan yang berkepentingan, jauh sekali yang pernah melibatkan diri secara serius dalam segala kegiatan kebudayaan.

Mungkin di sinilah maksud kritikan dan cemuhan Dr Syed Ali Tawfik Alatas tentang sikap sambil leka politikus terhadap aspek pembinaan insan, kemanusiaan, pemikiran, kebudayaan bahkan ketamadunan. Dalam keadaan yang serba lemah itu, apa yang disebutkan Dr Mahathir sekali lagi ialah kereta, kereta, kereta.

Memang bukan kepada Dr Mahathir kegusaran atau kehampaan sebegini harus disandarkan, tetapi kepada mereka yang pernah bergelut dengan makna dan perjuangan Reformasi sejak dua dekad lalu. Kalau golongan itu pun masih tidak sedar maksud “gerakan kebudayaan” seperti yang terungkap pada 1998, mereka sesungguhnya lebih hina daripada manusia yang mereka kecam dan lawan.

Tidak ada gunanya mengaku berjuang lama, menjadi reformis, akan akhirnya mengulangi cara dan gaya rejim lama. Menjadi orang jahil tidaklah berat hukumannya, tetapi menjadi orang yang sedar tetapi tidak berbuat apa-apa adalah serendah-rendah darjat pemimpin.

Walaupun kita ada mendengar kekesalan Dr Mahathir baru-baru ini terhadap kelemahan pentadbirannya dahulu, namun kekesalan sahaja tidak memadai. Rom memang tidak terbina dalam satu malam.

Tetapi sebelum terlewat, betulkanlah segera.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS