Dr M, Anwar nafi sengketa: Dulu pun begitu, kata Tawfik
Bekas MP Umno dan anak bekas TPM, Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata pada 1998 terdapat juga desas-desus yang disangkal.
Dua dekad telah berlalu sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memecat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan gerakan reformasi.
Sekarang, kedua-dua pemimpin ini berhadapan dengan keadaan yang hampir sama, iaitu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Anwar sebagai penggantinya.
Seperti tahun 1998 juga, kini muncul kembali desas-desus persengketaan dan kedua-duanya telah menafikannya.
Bagi bekas anggota parlimen Umno, Tawfik Ismail, yang merupakan anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, menyifatkan hal itu seolah-olah episod lama kembali berulang.
"Mendengar apa yang dinafikan (kini), hampir seperti mendengar apa yang dikatakan oleh Anwar dan Mahathir banyak tahun yang lalu.
"Saya sokong kamu, kamu sokong saya, maka pada keesokan harinya, kamu tahu, ada yang dibunuh (secara politik)," katanya kepada pemberita pada pelancaran buku Anatomy of an Electoral Tsunami di Kuala Lumpur petang ini.
Pengganti Mahathir gagal jadi PM, dibuang
Tawfik menegaskan bahawa Mahathir tidak mempunyai rekod terbaik dalam memilih penggantinya tetapi sekarang gabungan barunya Pakatan Harapan telah memilih Anwar.
"Majlis Presiden HARAPAN telah menamakan Anwar sebagai pengganti (Dr Mahathir). Bolehkah beliau (Mahathir) berpegang dengan kata-katanya? Secara literal, bolehkah dia mengotakan janjinya?" Soal beliau.
Beliau menegaskan bahawa semua yang dinamakan Mahathir sebagai penggantinya gagal menjadi perdana menteri atau dibuang kemudiannya seperti Tan Sri Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
"Jadi sekarang beliau cuba kembali lagi tetapi beliau tiada lagi kawan yang tinggal, beliau (berusia) 93 tahun, semua kawan-kawannya telah mati," katanya.
Tawfik juga mendakwa bahawa banyak isu dan masalah pada tahun 2018 ini telah berlarutan sejak pentadbiran terdahulu Mahathir dari 1981 hingga 2003.
Beliau berkata generasi muda mungkin tidak ingat atau menyedari hal tersebut dan oleh yang demikian perlu belajar tentang apa yang berlaku pada masa lalu.
Bekas anggota parlimen itu menggesa golongan muda supaya tidak mengambil semua yang dikatakan oleh Mahathir secara serius.
"Saya tidak tahu jika ada di antara kamu masih mengingati itu, tetapi orang yang banyak kehilangan tetap masih ingat," katanya.

