Rasuah di kalangan ahli politik akan tetap berterusan walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihentikan, kata penganalisis politik Lim Teck Ghee.

"Saya perlu akui tanggapan saya terhadap DEB salah, kerana saya ingat jika kita hentikannya, satu dasar baru akan diwujudkan dan akan membawa perubahan yang dimahukan dalam negara kita.

"Ini salah, kerana jika DEB dihentikan hari ini pun, rompakan dan penjarahan harta awam akan tetap berlaku dengan dasar yang baru.

"Selagi ada pemerolehan kerajaan, akan ada ahli politik, peringkat tinggi atau rendah, yang akan mengambil (wang negara), atau membolehkan saudara-maranya berbuat demikian, mempergunakan undang-undang untuk manfaat mereka, katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran buku Anatomy of Electoral Tsunami yang ditulisnya bersama-sama penulis Terence Netto dan S Thayaparan.

Beliau menggelarkan rasuah di Malaysia sebagai "hidra berkepala banyak" (hidra adalah ular raksaa dalam mitos Greek), dan tindakan memotong satu kepala hanya melahirkan dua kepala baru.

Untuk berdepan dengannya, katanya lagi, ketelusan dan pendedahan kepada awam adalah perkara paling penting.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan laman sesawang yang memaparkan maklumat berhubung konsesi dan kontrak kerajaan yang boleh diakses secara terbuka orang orang ramai.

Pengisytiharan harta pegawai kerajaan dan keluarga mereka juga patut ditunjukkan di laman itu, katanya lagi.

"(Dengan cara ini), kita dapat menghalang rasuah besar-besaran dalam 'Malaysia lama' yang kemungkinan besar akan berterusan di 'Malaysia baru'," katanya lagi.

[Baca berita asal]