PRK BALAKONG | Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan kemampuan MCA untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap pentadbiran Pakatan Harapan, mendakwa parti itu bekerjasama untuk mengganggu sentimen perkauman.

Hal ini susulan perkembangan pilihan raya kecil di Balakong semalam apabila PAS membantu MCA berkempen dan juga Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa DAP juga menggadaikan kepentingan orang Cina.

"Kini pemimpin PAS, yang menyatakan sokongnya kepada calon MCA untuk PRK Balakong, menyertai pemimpin dan pengkomplot Umno/ BN dalam konspirasi tidak bertanggungjawab dan oportunis untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

"Di satu sudut, pemimpin MCA menuduh DAP kononnya mengabaikan hak dan kepentingan kaum Cina di Malaysia, sementara pemimpin Umno dan PAS bersubahat menyerang DAP dan Pakatan Harapan kononnya mengkhianati kepentingan dan hak kaum Melayu.

"Bagaimana objektif yang bercanggah dan bertentangan itu dapat dicapai direalisasikan pada masa yang sama, tidak pernah sama sekali dijelaskan oleh pemimpin MCA/Umno/PAS," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

MCA bantu Najib jadi kleptokrasi global

Lim memaklumkan pada Sabtu lalu, Umno menganjurkan perhimpunan "Himpunan Melayu Bangkit" di Perak yang mana MP Pasir Salak mendakwa Melayu telah kehilangan kuasa selepas pilihan raya umum ke-14.

"Pemimpin MCA, bagaimanapun, tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno... Datuk Tajuddin Abdul Rahmah membuat ucapan tidak masuk akal, provokatif dan mengapi-apikan dengan membuat tuduhan bahawa kononnya orang Melayu kehilangan kuasa selepas PRU14 dan kononnya kerajaan telah digantikan dengan pihak yang dikawal oleh bukan Melayu.

"Tuduhan bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa politik menyerupai dakwaan MCA bahawa DAP dan Pakatan Harapan kononnya mengabaikan hak kaum Cina di Malaysia.

"Kini, MCA mengorak langkah dengan bekerjasama dengan PAS untuk memusnahkan DAP dan Pakatan Harapan," kata Lim yang menggesa pengundi Balakong menolak kerjasama politik yang terjalin antara MCA, Umno dan PAS itu.

"Kita memerlukan agen semak dan imbang dalam sistem demokrasi yang matang, tetapi MCA tidak boleh memainkan peranan itu, melainkan jika parti itu benar-benar bersedia untuk mengakui kesalahan lalu, khususnya dalam membantu dan bersubahat dengan Najib berhubung jenayah dan pengkhianatan terhadap negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global," katanya.

BACA: Satu undi tolak Umno MCA dan PAS