Bekas anggota parlimen Umno Mohamed Tawfik Ismail mengumpamakan Umno yang diwarisi dua bekas perdana menteri, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, sebagai kolam bertakung, yang hanya membolehkan "ikan pemakan sisa" (bottom feeders) untuk berjaya.

Oleh sebab itu, katanya, dua pemimpin itu hanya boleh memilih di kalangan spesis ikan yang kurang baik untuk memenuhi jawatan dalam kerajaan.

"Saya berpandangan Umno seperti sebuah kolam yang tiada saluran masuk dan keluar, ia jadi bertakung.

"Dalam kolam sebegitu, ikan yang cantik tidak akan dapat bertahan. Ikan yang dapat bertahan adalah bottom feeders dan itulah yang Umno ada menjelang tamatnya pemerintahan mereka tahun ini.

"Tiada salur masuk yang membenarkan spesis baru ke kolam itu kerana ia dihalang oleh orang yang mendahului mereka," katanya ketika pelancaran buku Anatomy of an Electoral Tsunami di Kuala Lumpur petang ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, jelas anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Umno lebih dari dua dekad.

Pada 2003, Mahathir menyerahkan kuasa kepada Abdullah, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah. Najib kemudian mengambil alih pada 2009.

Mahathir memainkan peranan penting dalam menamatkan kerjaya politik dua pewaris yang dipilihnya sendiri itu.

Meneruskan perumpamannya, Tawfik menyatakan kekesalannya apabila kolam Umno itu tidak digantikan airnya bagi memperkenalkan spesis ikan yang baru, susulan kekalahan bersejarah PRU ke-14.

"Kita masih mendengar retorik (sama). Sampah yang keluar tidak memberikan keyakinan terhadap mereka yang kini menjadi pembangkang," katanya.

Ironinya Mahathir juga yang mengetuai Pakatan Harapan untuk menamatkan tirai pemerintahan Umno selama enam dekad.

Kata Tawfik, Umno yang kini diketuai bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kurang hala tuju.

Beliau menyifatkan parti itu sebagai sebuah kumpulan yang mana anggotanya saling menyokong satu sama lain untuk lari daripada ketidaktentuan semasa.