'PM kata HARAPAN terlalu idealistik, saya kata dunia sudah berubah'
Tun Dr Mahathir Mohamad masih merungut merungut tentang amalan dan proses dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun beliau berkata sering memberitahu perdana menteri itu bahawa peraturan-peraturan tersebut penting agar selari dengan keadaan semasa.
"Sesetengah peraturan ini, (dia tanya) 'Mengapa begini', dia masih berkata begitu," katanya dalam wawancara bersama ThaiPBS.
Wartawan Suthichai Yoon juga bertanya Anwar jika Mahathir mengigatkannya tentang perbezaan mereka berdua.
"Dia ada (berbuat begitu). Misalnya, (dia kata HARAPAN) agak idealistik, terlalu demokratik atau terlalu liberal. Saya kata, 'Dunia sudah berubah, Perdana Menteri, kita bukan lagi dalam era 1980-an'.
"Kita mesti ada keyakinan dan percaya mampu membina (negara kembali), tetapi pastinya ia memerlukan institusi yang kuat," katanya yang bakal menjadi presiden PKR.
Anwar berkata beliau yakin Mahathir menerima keperluan melakukan reformasi selepas melihat sendiri kemerosotan yang menimpa negara.
"Ada orang yang menyabitkan (masalah yang melanda) dengan dia, tetapi bagi saya dia tidak boleh bayangkan ia akan sampai ke tahap ini," katanya lagi.
Mahathir menjadi perdana menteri keempat pada 1981 hingga 2003.

Beliau kembali sebagai perdana menteri ketujuh selepas menyertai HARAPAN dan kemudian menumbangkan BN pada PRU ke-14.
PKR pula - parti yang dipimpin Anwar - merupakan komponen HARAPAN terbesar di Dewan Rakyat dengan 49 kerusi Parlimen.
Ketika pertama kali sebagai perdana menteri, Mahathir dituduh sebagai seorang diktator antaranya kerana tindakan keras terhadap seteru politiknya.
Beliau juga memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998 dan memenjarakannya ekoran perselisihan yang tercetus antara mereka.
Tidak teruja pada mulanya
Anwar memberitahu ThaiPBS bahawa beliau pada mulanya bersikap terbuka dengan kerjasama dengan Mahathir, ketika pengerusi BERSATU itu memulakan perdamaian dengannya, tetapi tidak terlalu teruja dengannya.
"Tetapi saya lihat dia bekerja keras, betapa sukar untuknya.
"Ketika beberapa perhimpunan awal, setiap pemimpin yang berucap sebelumnya akan menyebut Mahathir pernah menahan mereka, atau (mereka diserang)...ketika itu dia perlu telan semua ini.

"Sehingga di akhir kempen (PRU ke-14), dia (berkempen) setiap malam. Dia sangat kuat. Orang memberi kredit kepadanya, saya juga begitu," katanya lagi.
Katanya lagi, Mahathir sendiri menerima tekanan akibat berpihak kepada pembangkang ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Baca: Panggilan telefon 9 Mei: Anwar dedah Najib terkedu
Kini, Anwar yakin beliau mempunyai "hubungan baik" dengan bekas seteru ketatnya.
"Saya tidak selalu berjumpanya, tetapi kami ada berbincang secara tertutup sekali dalam dua minggu. Saya bercakap panjang dengannya."
Perbincangan itu, katanya, berkenaan soal dasar dan isu berkaitan negara.
Ditanya bagaimana persediannya untuk mengambil alih kedudukan perdana menteri pada masa akan datang, Anwar berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan negara dengan restu Mahathir.
"Perdana menteri telah begitu baik hati. Dia benarkan menteri untuk memberi taklimat dan bercakap dengan saya," katanya lagi.

