Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak tiri CEO Cradle yang 'mahir memanah' tak ditahan
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 11:57 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor menafikan pihaknya menahan dua remaja berhubung kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran Jun lalu.

Ia sekali gus menafikan dakwaan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, yang melaporkan remaja terbabit yang juga anak tiri Nazrin ditahan di rumah datuk mereka kira-kira jam 9.30 malam tadi.

"Laporan itu tidak betul.

“Jumlah tangkapan masih kekal dua orang setakat ini," beliau dipetik sebagai berkata ketika menjawab soalan NSTP melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Memetik sumber, akhbar terbabit melaporkan remaja lelaki yang masih bersekolah ditahan bagi membantu siasatan kematian Nazrin selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang kesan anak panah pada lehernya.

Menurut laporan itu, mereka ditahan selepas soal siasat ke atas kedua-dua ibu mereka yang ditahan terlebih dahulu mendapati anak mereka mahir memanah.

Kelmarin, polis menahan bekas isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Polis pada Ogos lalu mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Dalam tragedi 14 Jun lalu itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya.

Syarikat Cradle Fund sehari selepas kejadian mengesahkan laporan bedah siasat mendapati kematian Nazrin berpunca daripada letupan telefon pintar.

Mangsa berkhidmat di syarikat itu selama 15 tahun.

Cradle Fund adalah syarikat Kementerian Kewangan yang membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS