Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Lebuhraya Pan Borneo tanpa merentasi Brunei tepat masanya’
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 12:01 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengalu-alukan keputusan kerajaan pusat untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa merentasi Brunei Darussalam.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengalihkan lebuhraya itu dari jajaran asal ke jajaran alternatif melalui beberapa kawasan pedalaman dan luar bandar di wilayah utara Sarawak sebagai tepat pada masanya.

Katanya, keputusan itu bakal membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan berkenaan, sekali gus membantu memperkasakan kemajuan sosio-ekonomi setempat yang mampu memberi impak positif kepada rakyat bagi tempoh jangka panjang.

"Ini termasuk peluang ekonomi dalam konteks pertanian dan perniagaan di kawasan yang bakal direntasi jajaran baru itu.

"Ada banyak rumah panjang di kawasan berkenaan dan sudah pasti apabila lebuh raya ini dibina melalui jajaran baru itu, penduduknya memperoleh banyak manfaat," katanya.

Baru juga yakin projek infrastruktur itu mampu menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan di kawasan berkenaan dengan adanya akses perhubungan yang lebih baik.

"Tarikan seperi Gunung Mulu, Gunung Murud dan Batu Lawi memiliki potensi besar dalam konteks pelancongan, malah dengan adanya lebuhraya itu, sudah pasti ia dapat meningkatkan kunjungan pelancong ke situ.

"Ia juga bakal menjadi nadi kehidupan di Limbang. Ini tentunya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Limbang," katanya.

Baru berkata, jajaran baru itu juga akan memudahkan masyarakat pedalaman dan luar bandar di wilayah utara Sarawak, khususnya di Baram, Bario dan Ba'kelalan mendapatkan khidmat rawatan kesihatan di Hospital Miri.

Ketika ini, penduduk yang memerlukan rawatan terpaksa melalui perjalanan jauh merentasi Brunei untuk sampai ke Hospital Miri yang mengambil masa lama, selain perbelanjaan tinggi.

"Bagaimana pula dengan nasib mereka yang tidak memiliki pasport... untuk merentasi sempadan negara, kita memerlukan pasport dan tidak semua memiliki pasport atau mampu untuk memilikinya.

"Bagi pesakit yang kritikal, terutama di Lawas, alternatif yang ada diterbangkan ke hospital di Kota Kinabalu menggunakan helikopter.

“Ini juga membabitkan kos, selain menambahkan tekanan kepada hospital di sana," katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya sedang meneliti jajaran terbaik bagi laluan baharu lebuh raya berkenaan bersandarkan faktor geografi di kawasan itu sebagai inisiatif penjimatan kos, termasuk memendekkan jarak jajaran yang bakal dibina itu.

Isnin lalu, Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan mencapai persetujuan bahawa Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dibina merentasi Brunei seperti perancangan asalnya atas faktor kekangan kos serta isu imigresen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS