Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan menteri KDN tak setuju hukuman sebatan terbuka

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai seperti di Terengganu awal minggu ini.

“Sama ada ia patut dilakukan di khalayak ramai atau tidak, secara peribadinya saya tidak setuju,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkaitan mahkamah syariah terletak bawah bidang kuasa negeri, bukan kementeriannya.

Isnin lalu, pasangan lesbian 32 dan 22 tahun disebat enam kali dalam dewan di mahkamah syariah di Terengganu setelah disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di dalam kereta.

Sebatan itu dikatakan yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini.

Sementara itu, berkaitan gesaan pemansuhan hukuman sebat, Azis berkata ia patut dibincangkan kabinet terlebih dahulu, sama ada ia bertamadun atau tidak.

Bagaimanapun, katanya, bagi keluarganya sendiri ia diamalkan.

“Saya sendiri kalau anak saya buat salah saya rotan dia,” katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menolak sebatan, terutamanya jika dibuat di depan orang ramai atas alasan ia menghina yang merendahkan maruah dan rasa kehormatan diri.

Pendukung hukuman itu, seperti PAS, NGO Islam dan peguam-peguam Muslim mempertahankannya kerana ia tidak memudaratkan berbanding sebatan sivil.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS