Ya, saya anak setinggan, kata Halimey sebak
PRK SERI SETIA | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar hari ini menitiskan air mata apabila mengingati kehidupan susah sebagai anak setinggan.
Halimey menunjukkan rasa sedih itu ketika mengulas kenyataan lawannya dari PAS, Dr Halimah Ali yang mengatakan calon anak tempatan bukan satu kelebihan untuk berbakti kepada penduduk di kawasan itu.
"Ya betul saya memang local boy. Yang pastinya saya memang anak tempatan.
"Saya dah biasa dengan kehidupan susah.
"Saya akui saya anak setinggan, biar dia (Halimah) cakap apa. Dan saya tahu betapa susahnya hidup anak setinggan," kata Halimey sambil dilihat mengesat air matanya.semasa sidang akhbar di Kelana Jaya hari ini.
Menurut Halimey beliau merupakan anak peniaga pasar malam yang pernah meraih pendapatan hanya sekitar RM20 sehari untuk menampung keluarga.
"Kini tiba masa saya nak berkhidmat kepada masyarakat setempat, kawasan saya sendiri," jelasnya sebak.
Media semalam melaporkan kenyataan Dr Halimah Ali yang mengatakan pemilihan calon tempatan sebagai wakil rakyat merupakan pemikiran lama.
Dr Halimah sebaliknya berkata, faktor terpenting adalah sejauh mana kemampuan seseorang calon dapat berkhidmat dan melaksanakan mandat yang diberi rakyat.
"Sebenarnya pilih calon yang lahir di sini (tetap) saya rasa itu cara pemikiran lama. Kita sudah melalui anjakan paradigma sama ada lahir sini ke tidak.
"Contoh, kenapa sesebuah kelab bola sepak boleh nak bayar seorang pemain import? Ia kerana dia adalah pemain yang tunjukkan prestasi," kata Dr Halimah.
Bercakap kepada Malaysiakini selepas itu, Halimey berkata beliau menjadi emosi kerana teringat kehidupan sukar di masa lalu.
"Saya teringat pengalaman hidup setinggan, betapa susah. Pernah mak bapa saya hanya beri makan kadang-kadang dua kali sahaja sehari. Itu yang saya terasa sangat
"Jangan hina anak tempatan," katanya.

