Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS, Umno senada mahu calon Seri Setia betul-betul bersih

PRK SERI SETIA | Dalam usaha menampilkan wakil rakyat yang bersih, PAS Selangor mencabar calon dalam pilihan raya kecil ini mengisytiharkan harta masing-masing.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat di antara parti itu bersama Umno Selangor pada hari ini.

Katanya mesyuarat yang dihadiri pimpinan utama kedua-dua parti peringkat Selangor itu menegaskan, kedua-dua calon yang bertanding perlulah bebas daripada sebarang unsur salah laku atau penyelewengan.

“Kita cabar supaya Pakatan Harapan (HARAPAN) sama-sama isytiharkan harta kepada rakyat. Kita mahu buktikan calon yang bertanding benar-benar bersih.

“Dr Halimah akan mengumumkan hartanya, dan kita harap calon HARAPAN boleh lakukan perkara yang sama... kecualilah harta dia terlalu banyak hingga (ambil) masa berminggu untuk isytihar,” katanya pada sidang media di Bilik Operasi Induk PRK Seri Setia di Shah Alam di sini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail, selain beberapa pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

PRK Seri Setia akan diadakan pada Sabtu ini ekoran kekosongan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin.

HARAPAN meletakkan bekas anggota Majlis Bandar Raya Petaling Jaya Halimey Abu Bakar untuk mewakili parti kerajaan manakala pembangkang menurunkan bekas exco negeri, Dr Halimah Ali.

Sementara itu Dr Halimah yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau tidak ada masalah untuk mengisytiharkan asetnya, malah pernah melakukan perkara itu sewaktu menjadi exco Selangor sebelum ini.

“Saya ialah mantan exco kerajaan negeri dan memang telah pun isythar aset, bahkan dah masukkan (maklumat tersebut) dalam laman sesawang kerajaan negeri.

"Persoalannya adakah selepas saya menjadi exco, ADUN, harta saya bertambah?

“Kereta saya beli ialah yang dilelong kerajaan negeri selepas saya jadi exco, saya pakai sekarang ni. Dah 10 tahun, itulah pertambahannya.

“Nak kira tak ada pertambahan, cuma dia punya nilai kena tanya pada jurunilai. Itu saja yang ada pada saya, tak ada isu bagi saya nak isytihar aset,” katanya.

Dr Halimah turut menggesa Halimey mengisytiharkan hartanya memandangkan perjuangan PKR ialah memartabatkan reformasi dan integriti.

“Kita tak nak orang yang memegang jawatan penting menggunakan jawatan terutamanya dia dari parti pemerintah.

"Macam kami tak ada terdedah sangat sebab kami tak dapat projek, tapi dia berisiko lebih tinggi dan semasa dia jadi ahli majlis dan sebagainya, sebab dia tak pernah lagi isytihar dan saya dah isytihar,” katanya.

Lihat Komen
ADS