Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prosiding bagi mengenang peguam Kedah yang meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 3:48 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Suasana di Mahkamah Tinggi 1 dekat Alor Setar hari ini berbeza daripada hari-hari kebiasaannya apabila ia dipenuhi dengan pengamal undang-undang yang menghadiri Prosiding Memperingati yang pertama kalinya dianjurkan Badan Peguam Kedah (BPK)

Prosiding yang bermula 9 pagi itu dihadiri kira-kira 100 daripada mereka bertujuan memperingati 22 peguambela dan peguamcara di Kedah yang telah meninggal dunia sejak 24 tahun lalu iaitu dari tahun 1994 hingga tahun ini.

Ia dijalankan di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi, iaitu Datuk Ghazali Cha, Chan Jit Li, serta Abu Bakar Latar serta turut dihadiri waris dan keluarga terdekat, dimana latar belakang serta perjalanan hidup setiap peguam yang telah meninggal dunia akan dibacakan oleh seramai 22 peguam secara bergilir-gilir.

Pengerusi BPK Nazliyah Mansor berkata, tradisi unik dalam profesion undang-undang itu sebenarnya adalah hampir sama dengan majlis penerimaan masuk sebagai peguambela atau peguamcara di hadapan hakim Mahkamah Tinggi sebagai syarat wajib untuk melangkah masuk memegang jawatan itu secara bertauliah.

“Jadi secara tradisinya apabila peguam itu meninggal dunia kita ada satu lagi prosiding yang dibuat di Mahkamah Tinggi untuk memperingati peguam tersebut, di Kedah kita belum pernah buat, jadi BPK usahakan untuk meneruskan tradisi majlis peguam kita,” katanya setelah selesai prosiding tersebut.

Di akhir prosiding, Nazliyah berkata mereka turut mengusulkan supaya Rekod Prosiding Memperingati itu disimpan di arkib mahkamah dan sesalinan diserahkan kepada setiap keluarga peguam yang telah meninggal dunia sebelum diluluskan hakim bersidang.

Sementara itu Idris Hashim, 69, dari Simpang Empat Kangkong dekat sini yang juga bapa kepada Allahyarham Mohamad Firdaus Idris berkata, beliau merasa amat terharu kerana BPK mengadakan prosiding itu sebagai tanda memperingati dan menghargai jasa anaknya serta peguam lain yang telah meninggal dunia.

Beliau berkata Allahyarham yang berusia 33 tahun ketika dia meninggal dunia akibat darah tinggi amat meminati profesion perundangan sejak dari kecil lagi dan pernah berkhidmat di firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners, Kuala Lumpur.

Antara ahli badan tersebut yang diperingati dalam prosiding itu ialah Manjit Singh A/L Ram Singh Deo iaitu adik kepada peguam terkenal, mendiang Ram Karpal Singh, Zainon Mohd Mokhtar, Aliza Ahmad, Adi Satria Ahmad@Harun serta Oo Gin Sun.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS