Dua wanita warga asing masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya  hari ini kerana menawarkan khidmat seks di sebuah pusat kecantikan, bulan lepas.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhi hukuman itu selepas warga Indonesia, Veronika Verans Siska, 21, dan warga Thailand, Sorawee In Tasoy, 18, mengaku bersalah atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan khidmat seks.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesalahan itu dilakukan di premis Great Wall Spa, Nouvelle Hotel, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Seri Kembangan pada 9 malam 19 Ogos lepas mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya merupakan mangsa penipuan ejen dan memohon mereka dihantar pulang ke negara asal.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua tertuduh telah ditangkap dalam satu serbuan di sebuah pusat kecantikan yang dijalankan tanpa lesen dan hasil siasatan mendapati mereka telah menawarkan khidmat seks kepada pelanggan pusat kecantikan tersebut.

- Bernama