Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri kami masa naikkan gaji minimum, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah meminta orang ramai supaya memberi masa kepada kerajaan persekutuan untuk memenuhi janji pilihan raya bagi menaikkan gaji minimum kepada RM1,500.

"Kita masih ada lima tahun lagi. Kita akan berusaha keras untuk memastikan bahawa gaji minima yang kami letak dalam manifesto akan dapat kita tingkatkan pada masa ke semasa sampai ke target yang kita letak. Give us time (beri kami masa)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. .

Semalam, kerajaan persekutuan mengumumkan gaji minimum ditetapkan kepada RM1,050 di seluruh negara mulai 1 Jan tahun depan daripada RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Amiruddin berkata perubahan penting dalam dasar kerajaan persekutuan adalah untuk menyeragamkan gaji minimum bagi semua negeri.

Beliau berkata janji HARAPAN untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 ditetapkan berdasarkan data tidak lengkap dan majikan meminta lebih banyak masa untuk memenuhi gaji minimum yang dikehendaki.

"Sudah tentu, dengan apa keputusan yang kita buat, ada orang yang lega, ada yang kecewa. Kena ingat kalaupun berlaku kekecewaan, kita harap ini tidak akan berpanjangan.

"Apabila kita mampu memberikan kelegaan dan harapan kepada pasaran bahawa kita menuju ke arah sebuah negara yang competent, accountable, transparent (berdaya saing, bertanggungjawab dan telusjadi ekonomi akan berkembang dengan baik.

"Kalau everything goes well (semuanya berjalan lancar), majikan boleh berikan lebih daripada itu," katanya.

Dasar gaji minimum diperkenalkan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2014.

Lihat Komen
ADS