Hasil kajian semula tarif air di Selangor akan diumumkan pada November ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Keputusan untuk mengkaji semula tarif air di Selangor bertujuan membolehkan kerajaan negeri menyediakan subsidi kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang disasarkan.

Beliau berkata perbelanjaan kerajaan bagi subsidi air telah meningkat dengan ketara sejak program air percuma diperkenalkan pada 2008, disebabkan peningkatan jumlah premis di Selangor.

“Ketika kita mulakan program itu, subsidi (hanya) RM70 juta pada 2008, oleh kerana jumlah premis semakin meningkat di Selangor, subsidi kini mencecah RM200 juta setahun.

“Kita perlu mempunyai (program) jangka panjang dan pada masa sama tumpuan kerajaan adalah untuk menaikkan taraf hidup kumpulan B40,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 di ibunegara hari ini.

Amirudin berkata, hasil dapatan kajian semula tarif air itu akan dibentangkan semasa pembentangan Bajet 2019 Selangor di persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Jika tidak (diumumkan) pada November ini, saya akan mengumumkannya pada tahun depan tetapi saya rasa kita memerlukan masa kerana kerajaan negeri perlu melihat semula data dan keperluan.

“Air percuma merupakan antara prohram utama kerajaan negeri, sebab itulah bukan mudah untuk menghentikan atau mengubahnya,” katanya.

Beliau memberi jaminan, kerajaan negeri akan mengkaji semula tarif itu dengan teliti selain mencari kaedah untuk menguruskannya serta memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat terutama kepada kumpulan sasaran.

- Bernama