Menteri Kerja Raya, Baru Bian memaklumkan susulan kelewatan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB), kerajaan telah mengarahkan Pihak Rakan Pelaksana Projek (PDP) berbincang dan bersepakat dengan pihak kontraktor pakej kerja (WPC).

Perbincangan itu, katanya, untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan binaan, tenaga kerja dan peralatan jentera binaan.

"Projek LPB di negeri Sabah yang berskala besar menyebabkan kekangan dari segi kecukupan bekalan bahan binaan, tenaga kerja mahir dan separa mahir dan juga peralatan jentera binaan.

"Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan telah mengarahkan pihak Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk berbincang dan menyelaraskan dengan pihak WPC untuk mencari dan mengemukakan kaedah alternatif supaya perkara ini tidak berterusan," ujar beliau dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau, kerajaan juga telah menyelesaikan masalah kelewatan bayaran kepada pihak WPC berkaitan isu-isu teknikal yang menjadi antara punca kelewatan LBP.

Melalui pihak PDP, kerajaan menegaskan bahawa bayaran hanya akan dilakukan selepas tuntutan bayaran disemak dan disahkan, jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir dalam kenyataannya pada 3 September yang lalu berkata kerajaan akan menyiasat sebab-sebab berlaku kelewatan pembinaan bahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah walaupun wang pembinaannya telahpun disalurkan.

Sementara itu, Baru juga turut menyenaraikan faktor lain yang turut menjadi penyebab kelewatan projek LBP, antaranya adalah faktor pengambilan balik tanah.

"Memahami kerja pengambilan balik tanah adalah kerja yang berskala besar, pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah sedang bertindak untuk menambah baik dan mempercepatkan proses tersebut mengikut peraturan yang ditetapkan supaya kepentingan dan hak para pemilik tanah masih terjamin," katanya.