Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji pengoperasian dan model bersesuaian untuk menambah baik perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Menterinya, Anthony Loke berkata pihaknya belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan baru bagi penambahbaikan perkhidmatan feri tersebut.

"Kerajaan akan lihat bagaimana menambah baik dan pastikan perkhidmatan feri ini lebih efisien.

"Memang ada pelbagai cadangan tambah water taxi, catamaran dan sebagainya. Itu kita akan lihat bagaimana menambah baik lagi.

"Tapi setakat ini belum ada apa-apa keputusan muktamad berkenaan apa-apa cadangan baharu. Apa sedia ada itu kita akan kekalkan dan kita akan tambah baik terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas melawat Penang Sentral di Butterworth hari ini.

Terdahulu, Loke menaiki feri dari bahagian pulau ke kompleks berkenaan yang terletak di Seberang Perai Utara.

Loke mengakui operasi perkhidmatan feri itu - yang kini dikendalikan Rapid Ferry milik Prasarana - memerlukan kos tinggi dan berterusan memandangkan tambang dikenakan adalah rendah dan sehala.

Cari penyelesaian menang-menang

Namun beliau memberi jaminan perkhidmatan itu akan dikekalkan.

Ditanya sama ada terdapat cadangan penswastaan perkhidmatan itu, Loke berkata buat masa ini pihaknya belum menerima permohonan daripada mana-mana syarikat swasta.

“Kita terbuka kepada sebarang cadangan. Pada masa ini, kita sedang mengkaji dan sudah tentu Kementerian Kewangan juga melihat kepada pelbagai cadangan agar perkhidmatan itu lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan berbincang dengan Penang Sentral Sdn Bhd, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan syarikat bas untuk menentukan kadar tambang kepada syarikat bas dan pengguna.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan kadar tambang dikenakan kelak berpatutan dan tidak membebankan pengguna dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya bas.

"...yang pentingnya kita nak syarikat-syarikat bas itu dapat menggunakan kemudahan di sini. Kalau mereka tidak menggunakan kemudahan di sini maka ia tidak akan berjaya.

“Kementerian akan berunding dengan pihak pengurusan untuk lihat satu situasi menang-menang. Saya harap dapat memutuskan kadar tambang ini dengan segera supaya operasi ini dapat dimulakan dalam masa terdekat," katanya.

Fasa pertama Penang Sentral, satu-satunya projek Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) dijangka dibuka kepada orang ramai menjelang Disember tahun ini.

- Bernama