PRK BALAKONG | Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkempen untuk calon MCA pada pilihan raya kecil ini tetapi kelihatan tidak meletakkan sasaran yang tinggi, mencukupi sekadar mengurangkan majoriti undi yang diperolehi Pakatan Harapan pada PRU14.

"Dalam pilihan raya kecil Balakong ini, kita tidak mengira, istilah menang atau kalah. Yang penting bagi kita, jika kita dapat menurunkan jumlah undi dan jumlah majoriti kepada calon Pakatan Harapan (dan hal) itu telah merupakan satu kemenangan moral kepada kita," kata beliau ketika mengunjungi bilik gerakan MCA di Balakong.

Menurut Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, pilihan raya kecil di Selangor, termasuklah di Seri Setia dan Sungai Kandis dapat membantu mengukuhkan kerjasama Umno antara parti-parti dalam BN dan PAS.

"Jika kita dapat kurangkan undi calon HARAPAN dan kita dapat kurangkan majoriti mereka serta kita dapat tingkatkan undi kita, saya yakin...kita akan bangkit semula (kembali menjadi) kerajaan satu ketika nanti dalam waktu terdekat," katanya yang percaya ahli dan penyokong PAS akan mengundi calon MCA.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata MCA mendapat restu gabungan itu untuk bertanding menggunakan logonya sendiri pada PRK Balakong.

BN dilapor tinggal tiga parti

Beliau menyifatkan MCA sebagai "rakan sejati" berkata BN akan terus wujud sebagai gabungan.

Dilaporkan selepas PRU14, BN telah berpecah daripada gabungan 13 buah parti menjadi tiga iaitu Umno, MCA, MIC.

Bagaimanapun, Zahid menjelaskan PBRS masih kekal di bawah BN dan MyPPP juga mungkin akan terus bersama gabungan itu bergantung kepada keputusan pemilihan parti berkenaan.

Pilihan raya kecil Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon HARAPAN Wong Siew Ki. Hari pengundian bakal berlangsung pada 8 September ini.

DAP yang menjadi parti komponen HARAPAN telah memegang kerusi Dewan Undangan Negeri itu sejak 2008.

Kerusi itu kosong selepas ADUN penyandang Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan kereta.

Ng menang besar DUN Balakong pada pilihan raya umum lalu dengan mendapat 41,768 undi manakala PAS dan MCA tewas serta kehilangan deposit dengan masing-masing memperoleh 6,230 undi dan 5,874 undi.