Berita Malaysiakini

Zahid ke muktamar PAS: InsyaAllah ana datang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK SERI SETIA | Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji malam tadi untuk secara peribadi menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu minggu hadapan.

Berucap di majlis ceramah PAS pada kempen pilihan raya kecil DUN Seri Setia, Zahid juga berkata akan membawa seluruh kepimpinan tertinggi Umno ke muktamar PAS.

"Tuan-tuan dan puan-puan, saya baru mendapat jemputan untuk hadir ke muktamar PAS.

"InsyaAllah, ana akan datang. Timbalan presiden akan datang, naib-naib presiden, setiausaha agong akan datang, ketua pemuda, ketua puteri semua akan datang sebagai tanda sokongan moral kepada pimpinan PAS dan PAS keseluruhannya," katanya.

Ceramah tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan dan Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Ti Lian Ker.

Hormati agama, bangsa kami

Dalam ucapannya, Zahid mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan menjejaskan kepentingan Melayu yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

"Hormati agama kami, kalau minta kami menghormati agama kamu.

"Hormati bangsa kami, kalau minta kami menghormati bangsa kamu.

"Ya kerajaan boleh ditukar tetapi prinsip-prinsip di dalam perlembagaan persekutuan tidak boleh ditukar.

"Raja-Raja Melayu harus dihormati. Kedudukan keistimewaan orang-orang Melayu juga harus dihormati. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga harus dihormati...soal agama Islam jangan dipertikaikan," katanya.

PRK Seri Setia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Umno memutuskan memberi laluan kepada PAS di kerusi yang secara tradisinya ditandingi parti itu.

Zahid menganggap pilihan raya kecil ini sebagai permulaan kerjasama politik antara Umno dan PAS.

"Seri Setia ini ini permulaan tahaluf siyasi antara Umno dan PAS dan rakan-rakan dalam BN.

"Kalau PAS sebagai parti solo terus perintah Kelantan dan dapat Terengganu, InsyaAllah, kalau PAS kerjasama dengan Umno, dalam PRU15, banyak negeri lagi dan Putrajaya kita akan dapat," katanya lagi.