Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar seru pengundi Seri Setia bantu kemenangan HARAPAN

PRK SERI SETIA | Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menyantuni pengundi kaum India di kawasan pilihan raya kecil Seri Setia malam tadi.

Bertempat di Desa Mentari, Anwar dijemput naik ke atas pentas oleh seorang penyanyi yang berpakaian seperti pelakon popular India, MGR.

Gelagat Anwar menari dengan penyanyi berkenaan yang menyampaikan lagu Hindi bertajuk 'Haan Anaiyittla' berjaya mencuit hati penonton.

Malah beliau juga dilihat mengetahui lirik lagu yang dinyanyikan apabila turut menyanyi bersama-sama ketika diberikan mikrofon.

Anwar kemudian menyampaikan pesanan kepada penduduk yang hadir dan menyeru mereka mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) serta turut membantu kemenangan beliau pada satu lagi pilihan raya kecil tidak lama lagi.

"Saya minta kawan-kawan bagi sokongan supaya kerajaan negeri Selangor kuat.

"Lepas pilihan raya ini, 8 hari bulan, Balakong dan Seri Setia, kena tolong saya pula. Saya pula nak bertanding tempat lain pula.

"Boleh tolongkah saya?" Soal beliau sambil disambut sorakan 'boleh' oleh kira-kira 250 penduduk Desa Mentari.

"Because saya kena jadi ahli parlimen, saya bagi tahu Tun Mahathir, you jaga negeri, saya jaga parlimen dulu. Besok bila saya cukup time, saya pulak ambil negeri boleh?" kata Anwar sambil disambut boleh oleh pengundi.

Terdahulu, dalam acara berasingan bersama pengundi kaum Cina di Sunway Mentari, Anwar turut menyampaikan mesej yang sama.

"Inilah nak pesan kepada kawan-kawan supaya keluar ramai-ramai. Susah PRK ini, bila kerajaan sudah stable, mahu orang keluar mereka kata tak apalah.

"Tak keluar pun sudah menang, sudah tukar kerajaan.

"Saya mintalah, walaupun PRK, we need support. Saya sendiri pun, tak lama lagi saya kena bertanding juga. Sekarang masuk parlimen hanya jalan-jalan sahaja, perlu masuk PRK juga.

"Jadi esok bila menang di sini, bila saya kata saya mahu bertanding mana-mana, boleh tak kawan-kawan tolong saya, kempen untuk saya?" sambil dijawab 'boleh' oleh mereka yang hadir.

Anwar sebelum ini membayangkan hasrat kembali ke Dewan Rakyat sejak awal Ogos ketika berkempen untuk calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis.

Parti itu menyenaraikan tiga kerusi parlimen untuk dipilih Anwar bertanding pada Oktober tahun ini.

Ini merupakan langkah awal dalam usaha Anwar untuk mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir.

Pilihan raya kecil Isnin ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar dan calon PAS Dr Halimah Ali.

Pada PRU14, Shaharuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 19,372 dalam pertandingan empat penjuru menentang Yusoff M Haniff (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon bebas S Vigneswaran.

Lihat Komen
ADS