Rewcastle-Brown lancar buku di KL, P Pinang
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown akan melancarkan buku pertamanya 'The Sarawak Report: The Inside Story of 1MDB Expose' - di Petaling Jaya Sabtu ini.
Buku setebal 528 muka surat itu sarat dengan pendedahan skandal 1MDB di seluruh dunia, antara lain pertemuan dengan pemberi maklumat Xavier Justo, penglibatan pihak berkuasa Malaysia dan selebriti Hollywood serta bagaimana kerajaan Malaysia menjadikan beliau sebagai musuh.
Rewcastle-Brown yang dilahirkan di Sarawak memainkan peranan utama dalam mendedahkan fakta di sebalik skandal berkenaan, yang membawa kepada kejatuhan BN dan hutang besar yang kini ditanggung kerajaan baru.
Berikutan kekalahan BN pada PRU lalu, Rewcastle-Brown berpeluang melawat Malaysia sebanyak dua kali dan akan berada di negara ini bagi menghadiri majlis pelancaran buku tersebut pada 8 Sept jam 4 petang di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Majlis pelancaran buku itu dianjurkan oleh Malaysiakini dan KiniTV manakala tempat bagi majlis pelancaran ditaja oleh hotel berkenaan.
Buku tersebut diterbitkan oleh penerbit Gerak Budaya dan akan dijual di toko buku dengan harga RM80.
KiniTV akan membuat liputan majlis berkenaan Sabtu ini.
Selain itu terdapat satu lagi sesi pelancaran yang diadakan di Penang Institute, Georgetown pada 13 September jam 8 malam.

