KPDNHEP arah siasat syarikat tayar, minuman
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan siasatan terhadap beberapa syarikat tayar dan minuman di Malaysia kerana terdapat kemungkinan perlakuan antipersaingan.
Ini adalah berikutan arahan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang telah dimaklumkan berkenaan pengeluaran notis-notis kenaikan harga yang dikeluarkan oleh beberapa pemain industri pada bulan Julai dan Ogos 2018 iaitu sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018.
Saifuddin telah mengarahkan MyCC bersama-sama dengan bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada tindakan ini menimbulkan isu di bawah undang-undang yang relevan.
Bertindak atas arahan tersebut, MyCC dan bahagian penguatkuasa KPDNHEP telah memeriksa beberapa syarikat tayar. Ini diikuti dengan pemeriksaan oleh MyCC terhadap beberapa persatuan tayar yang berkaitan.
Pemeriksaan berasingan juga telah dijalankan oleh MyCC terhadap pengeluar minuman berikutan tindakannya mengeluarkan notis harga baru kepada pasar raya dan pasar raya besar di Malaysia.
Siasatan oleh MyCC ke atas pihak yang terbabit adalah berkaitan dengan seksyen 4 Akta Persaingan 2010 sementara penyiasatan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP adalah berkenaan isu di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Notis telah dikeluarkan kepada pihak yang berkaitan untuk mengemukakan maklumat dan dokumen tertentu dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut.
"Operasi bersama MyCC dan KPDNHEP ini bukanlah yang terakhir dan kami akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP untuk menguatkuasakan undang-undang.
"Usaha bersama ini adalah bukti komitmen kami untuk memastikan kepentingan pengguna dilindungi. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap perusahaan yang didapati melanggar undang-undang," kata Iskandar Ismail, Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan MyCC.
MyCC ditubuhkan pada April 2011 ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk atau perkhidmatan yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.
Akta ini diguna pakai kepada semua aktiviti komersial yang ditanggung di dalam dan di luar Malaysia yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia.
Ia memberikan satu rangka kerja kawalan termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenakan penalti-penalti kepada pesalah undang-undang persaingan.
Untuk maklumat lanjut tentang Akta dan Suruhanjaya Persaingan, sila rujuk laman web www.mycc.gov.my.
- Bernama

