Penyelesaian dicari bagi 350 projek perumahan terbengkalai - Zuraida
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengkaji dan menyemak semula projek yang perumahan yang terbengkalai dan mencari jalan penyelesaian bagi menguruskan projek terbengkalai itu kata Menteri berkenaan Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata mengikut perangkaan kebangsaan, dianggarkan kira-kira 350 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dan sehubungan itu pihak kementerian sedang mencari pendekatan yang lebih cepat yang boleh dipraktikkan untuk menguruskan rumah yang terbengkalai ini.
"Antara punca projek itu terbengkalai adalah kerana masalah kewangan, kajian awal projek yang tidak terperinci, tiada pembeli, geografi kawasan projek tidak sesuai dan tiada kemudahan infrastruktur," katanya selepas melancarkan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemaskini 2018 di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, di Ampang dekat sini, hari ini.
Mengenai Selangor, Zuraida berkata sebanyak 57 projek perumahan yang terbengkalai di Selangor telah selesai dipulihkan sepenuhnya, lima buah lagi sedang dalam proses pemulihan manakala 20 lagi dalam perancangan untuk dipulihkan sejak 2009 sehingga 30 Jun lalu.
Beliau menjelaskan demikian bagi menjawab tohmahan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong yang mempersoal kredibiliti kerajaan Selangor berikutan berlakunya lambakan projek perumahan terbengkalai di negeri itu.
Zuraida yang juga anggota Parlimen Ampang berkata masalah projek perumahan terbengkalai antara isu yang menjadi perhatian kementerian dalam mewujudkan Dasar Perumahan Negara baharu yang akan dilancarkan pada hujung bulan ini.
Selain menyediakan perumahan mampu milik bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40) dasar itu turut bertujuan mengenalpasti definisi rumah mampu milik, harga semasa rumah, konsep bangunan masa depan dan kemudahan yang kementerian bercadang untuk memperkenalkan dalam skim perumahan awam dan swasta.
Zuraida berkata kementerian itu bukan sekadar membina perumahan bagi rakyat bahkan turut memastikan kelestariannya dalam mewujudkan komuniti yang berbudaya, berdisplin dan mempunyai kesedaran dalam penjagaan alam sekitar menerusi Dasar Komuniti Negara.
Beliau berkata sehubungan itu tahap kitar semula negara telah mencapai kadar 23 peratus berbanding 13 peratus sebelum ini, hasil daripada pendidikan berterusan dan pengenalan teknologi baharu berkaitan pengurusan sisa pepejal.
- Bernama

