Ramkarpal: 'Info baru' bercanggah penafian Shafee
Peguam yang mewakil Datuk Seri Anwar Ibrahim menyorot keseriusan dakwaan terdapat 'maklumat baru' yang mengesahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membayar peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.
"Dakwaan terdapat maklumat baru itu, yang sama dengan bukti baru jika di mahkamah, menimbulkan dakwaan serius bahawa Shafee mungkin mempunyai kepentingan dalam rayuan Anwar bagi kes Liwat 2 di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
"Undang-undang memperuntukkan pelantikan Shafee mewakili kerajaan dalam kes rayuan berkenaan sebagai penasihat dan peguamcara tapi pelantikan itu perlu bebas dari berat sebelah dan syak wasangka kerana integriti pendakwaan dalam rayuan berkenaan tidak boleh dikompromi," kata Ramkarpal Singh dalam kenyataannya hari ini.
Perkembangan terbaru itu, kata Ramkarpal, bercanggah dengan penafian Shafee sebelum ini yang menyifatkan dakwaan terhadapnya "tidak masuk akal".
"Bukti baru (maklumat baru) itu bercanggah dengan pendirian Shafee bahawa dakwaan berkenaan tidak masuk akal malah menyentuh secara langsung asas pendakwaan kes rayuan itu, jika pendakwa raya mempunyai kepentingan dalam keputusan setelah dikatakan dibayar oleh saksi (Najib), maka sudah tentu pendakwaan itu tidak boleh dikatakan bebas dari berat sebelah dan syak wasangka.
"Sesuatu pendakwaan bukan saja perlu adil tapi juga dilihat adil dan atas sebab ini bukti terbaru itu perlu disiasat kerana hasil siasatan akan mempengaruhi kesahihan keputusan rayuan," katanya.
Ramkarpal turut menggesa Shafee tidak berdiam diri dengan perkembangan terbaru itu.
"Beliau perlu menjelaskan perkara ini dan menafikannya kerana jika tidak ia akan menarik kesimpulan bahawa tugasnya sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu dikompromi. Maka saya menggesa beliau mengambil peluang ini untuk menjelaskannya dengan segera," katanya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Pejabat Peguam Negara menyerahkan "maklumat baru" kepada Mahkamah Rayuan yang menunjukkan Najib membayar Rm9.5 juta kepada Shafee antara 2013 dan 2014.
Maklumat baru itu diserahkan oleh pegawai tugasan khas peguam negara dalam afidavit yang turut disertakan bersama butiran pemindahan wang melibatkan akaun bank Najib dan Shafee.
Afidavit itu dibuat sebagai maklum balas kepada rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan mengenai kes liwatnya yang telah mendapat pengampunan diraja.
Anwar ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah beliau dinafikan perbicaraan yang adil kerana pihak pendakwaan menerima bayaran daripada Najib, yang juga pencabar politiknya.

