PRK BALAKONG | Seorang pemimpin MCA menyuarakan ketidakpuasan hatinya mengenai keputusan partinya membenarkan PAS muncul di majlis kempen calon Balakong, Tan Chee Teong.

Menurut berbagai laporan akhbar berbahasa Cina hari ini, bekas pengerusi MCA Negeri Sembilan, Lim Chin Fui berkata terkejut dengan majlis itu.

Beliau berkata MCA sebuah parti berprinsip dan beliau tidak faham kenapa MCA menerima bantuan PAS untuk berkempen.

"MCA boleh bekerja sama dengan sebarang parti yang berkongsi ideologi yang sama, tetapi tidak dengan PAS, yang mana perjuangannya bertentangan dengan kami.

"PAS berhak melakukan apa saja tetapi MCA tidak boleh menerima parti yang berlainan ideologi itu.

"Jika MCA terima bantuan PAS, adakah maksudnya MCA setuju kerajaan negeri PAS menyebat dua orang lesbian?

"MCA tidak akan kehilangan apa-apa sekarang, adakah kami perlu mengorbankan satu-satunya maruah kami?" Soal beliau dalam kenyataan sebagaimana dipetik laporan media.

PAS mahu laksana hudud

Lim yang juga Pengerusi MCA Port Dickson mengecam PAS yang cuba untuk membina negara teokratik yang ekstrem dan akan melaksanakan hukum hudud.

Atas sebab itu, beliau mempersoalkan kenapa MCA perlu menerima sokongan PAS.

"Mereka pernah bersama dan berpisah dengan PAS empat ke lima kali. Ini menunjukkan mereka sebuah parti yang mengambil opurtunistik. Adakah MCA perlukan parti sebegitu untuk berkempen?"

Pada masa lalu, beliau berkata MCA mengutuk DAP bekerja sama dengan PAS, tetapi kini MCA melakukan kesilapan yang sama.

Selepas pilihan raya ke-14, Lim meletak jawatan sebagai pengerusi MCA negeri Sembilan bagi mengambil tangggung jawab akibat kekalahan parti itu.

Pada malam 4 September lalu, sejarah terlakar apabila Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan membuat penampilan di majlis MCA untuk menyokong calonnya Tan Chee Teong.

Hal ini berlaku meskipun MCA memiliki sejarah panjang menyerang PAS mengenai cita-citanya untuk menjadikan Malaysia negara teokratik.

Bagaimanapun, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan pakatan PAS-MCA tetapi berkata PAS berkempen untuk MCA atas dasar membina kekuatan semak dan imbang yang lebih mantap.