Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Aktivis pelajar mahu 'duduk bantah' hingga Maszlee letak jawatan

Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Rabu lalu terus mendapat pertikaian dan bantahan.

Hari ini, sekumpulan kecil aktivis pelajar mengadakan 'duduk bantah' di bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya bagi mendesak Maszlee melepaskan jawatan berkenaan.

Ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asyeeq Ali yang merupakan salah seorang aktivis pelajar yang hadir berkata dia dan kumpulannya akan terus berhimpun sehingga Maszlee meletakkan jawatan itu.

"Kita akan terus duduk di sini sehingga beliau melepaskan jawatan tersebut. Dah banyak tekanan diberikan kepada beliau dan dah banyak juga kenyataan yang dikeluarkan berhubung pelantikan tersebut, jadi kami amat berharap beliau maklum mengenainya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketika diminta mengulas keadaan semasa di sana, Asyeeq berkata beliau telah bertemu dengan salah seorang pegawai menteri terbabit yang telah berjanji akan menyertai mereka sehingga Maszlee menyatakan keputusannya.

"Pegawai khas menteri akan duduk dengan kami sehingga kami dapat bercakap dengan Dr Maszlee melalui telefon dan kalau menteri setuju untuk letak jawatan (sebagai presiden UIAM), menteri akan panggil sidang media," katanya

Terdahulu Asyeeq bersama lima lagi aktivis pelajar dilihat berada di hadapan bangunan Kementerian Pelajaran pagi ini sambil memegang kertas yang bertulis ‘Hormat Autonomi Universiti’ dan ‘Univeresiti Milik Mahasiswa Bukan Kaum Borjuis’ bagi membantah pelantikan Maszlee.

4 September lalu Persatuan Staf Akademik UIAM mengucapkan tahniah kepada Maszlee atas pelantikannya sebagai presiden universiti itu di halaman Facebook rasminya.

Bagaimanapun lantikan Maszlee mengundang kecaman pelbagai pihak.

Susulan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan akan mengkaji semula pelantikan tersebut.

Pelantikan Maszlee itu mengundang kritikan kerana ia dikatakan melanggar janji HARAPAN untuk membebaskan institusi pengajian tinggi daripada pengaruh politik.

Lihat Komen
ADS