K'jaan keluar lesen eksport simpanan stok bauksit - Xavier
Kerajaan bersetuju mengeluarkan lesen permit eksport (AP) dalam tempoh munasabah kepada syarikat terlibat mengosongkan stockpile (simpanan stok) bauksit yang berada dalam kawasan pelabuhan terlebih dahulu, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.
Katanya perkara itu dicapai dalam satu sesi pertemuan dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membincangkan isu berkaitan moratorium serta mendapatkan gambaran lebih holistik serta pandangan terus daripada kerajaan Pahang berhubung hala tuju industri tersebut di Pahang, hari ini.
Beliau berkata hasil perbincangan itu membuat keputusan untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit.
"Apabila moratorium ini ditarik balik kelak, semua pihak termasuk pelombong yang diberikan AP perlu menandatangani suatu Piagam untuk mematuhi semua syarat ditetapkan demi memastikan industri perlombongan bauksit Pahang berjalan secara mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Moratorium bauksit berakhir 31 Disember
Dalam pada itu, Xavier berkata moratorium perlombongan bauksit bermula pada 15 Januari tahun lepas bagi mengawal isu pencemaran akibat aktiviti tersebut dan disambung beberapa kali dengan yang terkini bakal berakhir pada 31 Disember depan.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan sedang merangka penyelesaian menyeluruh dalam menangani aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang, dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat dalam industri tersebut.
"Perbincangan itu bagi mencari jalan penyelesaian bersifat menang-menang serta mendapatkan konsensus hala tuju yang dapat memberi harapan baharu terhadap industri bauksit di negeri itu," katanya.
Semalam, kementerian juga mengadakan sesi perjumpaan bersama penggiat industri perlombongan bauksit di Pahang dan mendengar pandangan serta mendapatkan input dalam menentukan hala tuju industri perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri berkenaan, kata Xavier.
Satu sesi libat urus membabitkan wakil rakyat dari Pahang dengan pihak kementerian diadakan yang dihadiri anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kawasan terlibat dalam pengeluaran bauksit di Pahang pada 30 Julai lepas.
- Bernama

