'Jika terpilih, calon MCA akan kerja macam kuda'
PRK BALAKONG | Malam ini merupakan kesempatan terakhir berkempen bagi calon-calon dalam pilihan raya kecil kali ini.
Lori "Finale War Truck" yang menjadi pentas ceramah MCA kelihatan dingin dan kurang peminatnya.
Ceramah diadakan berhadapan gerai makan di Sungai Chua yang padat dengan pengunjung. Ketua-ketua bahagian MCA bergiliran memberikan ucapan pendek dalam bahasa Mandarin kerana sebahagian besar khalayak terdiri daripada orang Cina.
Sekitar jam 8 malam, Pengerusi Wanita MCA dari Rasah, Yap Siok Moy memberitahu hadirin para ADUN di Selangor sangat malas untuk hadir persidangan Dewan Undangan Negeri dan mereka tidak berbuat apa-apa walaupun menerima pendapatan RM19,500 sebulan.
Yap juga mengadu jalan-jalan di Balakong banyak yang berlubang dan isu-isu tempatan tidak selesai manakala parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan, dahulunya Pakatan Rakyat telah memerintah Selangor lebih sepuluh tahun.
"Tidak ada ADUN pembangkang Cina di Dewan (Undangan) Negeri Selangor sekarang. Tolong undi calon MCA Tan Chee Teong. Beliau tidak akan malas manakala mendapat RM19,500 setiap bulan, beliau pasti akan bekerja untuk kita macam kuda," kata Yap.
Banyak isu DAP tak boleh capai
Kemudian, sekitar jam 9 malam, khalayak di lori ceramah MCA bertambah kira-kira 80 orang.
Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun yang juga pengurus kempen Chee Teong berkata DAP tidak mengotakan janjinya untuk mengiktiraf sijil UEC tetapi kini berkata hal itu akan dikaji.
"Banyak isu yang DAP tak boleh capai, jadi kita perlu undi Chee Teong," kata Chew.
Pilihan raya kecil Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon HARAPAN Wong Siew Ki. Hari pengundian bakal berlangsung pada 8 September ini.
DAP yang menjadi parti komponen HARAPAN telah memegang kerusi Dewan Undangan Negeri itu sejak 2008.
Kerusi itu kosong selepas ADUN penyandang Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan kereta.
Ng menang besar DUN Balakong pada pilihan raya umum lalu dengan mendapat 41,768 undi manakala PAS dan MCA tewas serta kehilangan deposit dengan masing-masing memperoleh 6,230 undi dan 5,874 undi.

