Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PRK BALAKONG |  Anggota Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menyifatkan usaha MCA mendapatkan sokongan PAS dalam kempen pilihan raya kecil kali ini sebagai tindakan terdesak parti itu meraih undi orang Melayu.

"MCA sanggup menjual maruah sampai tinggal seluar dalam," katanya ketika berucap pada suatu majlis ceramah DAP pada malam terakhir kempen di Kampung Batu 11, Balakong.

Beliau juga berkata MCA tidak mampu melaksanakan peranan yang pernah dimainkan MCA sebelum ini.

Sementara itu, pemimpin parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika berucap di majlis yang disertai kira-kira 600 hadirin itu mencabar calon MCA Balakong Tan Chee Teong untuk menarik diri daripada pertandingan.

Menurut MP Iskandar Puteri, ini sebagai menyatakan pendirian kerana membenarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggunakan pentas MCA.

Lim berkata DAP dan pengundinya pernah memberi PAS peluang menunjukkan mereka mendukung Malaysia yang majmuk tetapi mensia-siakannya dan sekarang MCA pula mahu melibatkan diri dengan PAS.

Pada masa yang sama MCA pula mengadakan ceramahnya di atas lori yang dijuluki nama "Finale War Truck" di Sungai Chua, Balakong.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang hadir memberikan ucapan mengkritik keputusan pentadbiran Pakatan Harapan termasuklah peningkatan gaji minimum yang tidak bermakna, pelaksanaan SST dan rancangan kereta nasional baru.

Beliau berjanji akan melawan "42 roket (DAP) di dalam parlimen dengan berani."

Beliau berharap pengundi Balakong akan memberikan calon MCA, Tan Chee Teong peluang berkhidmat di Dewan Undangan Negeri ini bagi semak dan imbang kerajaan HARAPAN memandangkan kata 'teong' dalam dialek bahasa Cina bermaksud mengawasi.

"Ini supaya Chee Teong boleh 'teong' (mengawasi dalam dialek bahasa Cina) kerajaan Selangor.

"Chee Teong ialah hero MCA kerana beliau merupakan calon pertama kita yang bertanding menggunakan logo kita sendiri.

"Namanya Ah Teong, jadi saya pasti beliau akan berupaya untuk 'teong' kerajaan negeri juga," jelas Wee bersambut tawa hadirin.

Pilihan raya kecil Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon HARAPAN Wong Siew Ki. Hari pengundian bakal berlangsung pada 8 September ini.

DAP yang menjadi parti komponen HARAPAN telah memegang kerusi Dewan Undangan Negeri itu sejak 2008.

Kerusi itu kosong selepas ADUN penyandang Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan kereta.

Ng menang besar DUN Balakong pada pilihan raya umum lalu dengan mendapat 41,768 undi manakala PAS dan MCA tewas serta kehilangan deposit dengan masing-masing memperoleh 6,230 undi dan 5,874 undi.

Lihat Komen
ADS