Banjir kilat: 104 mangsa di Batu Pahat dipindahkan
Diterbitkan: Sep 8, 2018 9:17 AM | Dikemas kini: Sep 8, 2018 9:20 AM
Hujan renyai tanpa henti di sekitar Batu Pahat sejak semalam memaksa seramai 104 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan berikutan rumah mereka dinaiki air banjir kilat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kolonel Mat Zin Bujang berkata penduduk Kampung Sungai Suloh dan Sungai Ayam itu kini ditempatkan di pusat pemindahan SK Sungai Suloh yang dibuka sejak 7 malam tadi.
“Setakat 6 pagi ini, cuaca masih mendung dan hujan renyai. Paras air banjir kilat pula belum surut sepenuhnya kerana berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan, menyebabkan kawasan yang dinyatakan masih lagi terjejas.
“Pemantauan, bagaimanapun akan terus dilakukan oleh pihak berkaitan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
- Bernama

