mk-logo
Berita
Menteri, timb menteri bantah penahanan mahasiswa
Diterbitkan:  Sep 8, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan mengecam penahanan aktivis mahasiswa yang mengadakan protes di Kementerian Pendidikan dan menyifatkannya sebagai sekatan terhadap hak bersuara.

Awal pagi tadi, sekumpulan mahasiswa mengadakan duduk bantah di Kementerian Pendidikan di Putrajaya ekoran pelantikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pihak berkuasa menahan dua peserta bantahan itu, Asheeq Ali Sethi Alivi dan Siti Nurizzah Tazali. Difahamkan kedua-duanya sudah pun dibebaskan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin mempertahankan hak pelajar itu untuk menyuarakan bantahan.

"Saya tidak setuju dengan penangkapan pelajar yang membuat bantahan. Saya mempertahankan hak mereka untuk membantah," kata Saifuddin di Twitter.

Hanipa pula berkata beliau baru saja mendapat tahu tentang perkara itu, dan menekankan hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Malaysia Baru mesti bertoleransi dengan hak demokrasi untuk mana-mana pihak bersuara, berhimpun dan protes secara aman," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Maszlee berkata beliau sedang meneliti kenapa penahanan tersebut dibuat walaupun telah memaklumkan agar pihak berkuasa tidak berbuat demikian.

"Saya akan siasat kes ini dan berharap semua mahasiswa yang terlibat dalam keadaan baik dan mendapat hak sewajarnya," katanya di Twitter.

Beliau bagaimanapun meminta bantahan tidak dibuat dalam kawasan bangunan kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Lihat Komen
ADS