Maszlee: Pegawai saya runding pembebasan 2 mahasiswa
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau tetap komited dengan kebebasan bersuara, dan pegawainya yang telah berunding dengan polis untuk membebaskan dua aktivis mahasiswa pagi tadi.
Dua mahasiswa itu, Asheeq Ali Sethi Alivi dan Siti Nurizzah Tazali, ditahan awal pagi tadi susulan protes terhadap pelantikan Maszlee sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Kementerian Pendidikan, Putrajaya.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata penahanan berlaku selepas sekumpulan mahasiswa itu berpindah dari kawasan kemeteriannya ke pinta utama yang digunakan beberapa kementerian lain.
"Difahamkan majoriti anggota kumpulan yang memprotes sebenarnya bersetuju untuk bersurai. Hanya dua orang yang enggan dan dua orang ini disoal siasat oleh pihak berkuasa.
"Pegawai-pegawai saya atas sifat kemanusiaan dan mengambil berat akan kebajikan mereka terus mengadakan perbincangan dengan polis di Putrajaya sehingga tujuh pagi tadi agar membebaskan mereka. Mereka akhirnya dibebaskan dengan jaminan awal pagi tadi," katanya.
Sepanjang protes itu berlaku di bangunan kementeriannya, kata Maszlee, para mahasiswa telah diberi layanan yang baik termasuk diberi makanan dan minuman.

Pelantikan Maszlee (gambar) minggu lalu mencetuskan bantahan pelbagai pihak, termasuk daripada pemimpin Pakatan Harapan, atas dasar ia akan menimbulkan konflik kepentingan dan dilihat bertentangan dengan manifesto PRU ke-14 untuk mengembalikan kebebasan akademik di institut pengajian tinggi.
Malah bekas Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim sendiri menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak sesuai kerana setiap keputusan Maszlee yang melibatkan universiti itu akan dianggap berat sebelah.
Semalam, Maszlee yang juga bekas pensyarah UIAM berkata beliau akan mendapatkan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Perlembagaan UIAM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah.
Dalam kenyataan itu lagi, Maszlee berkata beliau tidak dapat segera berjumpa dengan mahasiswa yang membuat bantahan kerana berada di Sarawak.
"(Tetapi) Saya memberi jaminan akan bertemu mahasiswa yang mengadakan protes secepat mungkin untuk mendengar sendiri pandangan mereka.
"Saya telah meminta pegawai saya untuk mengaturkan masa yang sesuai iaitu Rabu ini untuk bertemu mereka," katanya lagi.

